LATEST

Semangat kental Mhia Firdaus pikul amanah diberikan

Semangat kental Mhia Firdaus pikul amanah diberikan

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Baca juga: Belum pulih daripada kehilangan anak, keluarga diuji banjir

MENCIPTA sejarah sebagai pelakon wanita Melayu dan Malaysia pertama yang dicalonkan pada Festival Filem Golden Horse ke-63 di Taiwan bukanlah sekadar pencapaian peribadi buat Mhia Firdaus, sebaliknya ia hadir bersama tanggungjawab besar untuk membawa nama negara di pentas antarabangsa.

Pencalonan berprestij itu juga menjadi pengiktirafan global keduanya selepas filem Roh.

Namun, di sebalik sorotan gemilang itu, anak kepada pelakon Farah Ahmad dan Allahyarham Pitt Hanif ini tetap berpijak di bumi nyata serta berpegang teguh pada prinsip asal pembabitannya dalam dunia seni.

“Apabila diberikan gelaran sebagai pelakon wanita Malaysia pertama yang dicalonkan pada Golden Horse Awards ke-63, ia tanggungjawab yang amat besar mengenai bagaimana saya mahu mewakili negara dan identiti sebagai orang Melayu.

“Kalau tersalah cakap sikit, tersalah riak muka atau bahasa tubuh, kesannya akan berbalik kepada diri saya kerana saya membawa nama negara.

“Dari awal lagi saya tak pernah menjadikan bidang lakonan sebagai tempat untuk mendapatkan pengesahan, populariti atau anugerah semata-mata.

“Niat saya ikhlas dari hati iaitu saya memang suka beraksi dan menyampaikan cerita melalui tubuh badan serta emosi saya.

“Sekiranya saya menang atau sekadar dicalonkan, ia bukan kejayaan saya seorang, tetapi milik semua kru di sebalik tabir yang mencurahkan sepenuh tenaga untuk karya ini,” katanya.

Komitmen ikhlas Mhia itu dibuktikan menerusi pengorbanan fizikal dan mental yang ekstrem demi menjayakan watak utama sebagai Mina menerusi naskhah Sayang Sayang.

Selama dua bulan, Mhia menjalani latihan intensif seni mempertahankan diri Muay Thai pada sebelah petang dan kelas menyelam.

Cabaran mengawal perubahan emosi akibat lapar serta panas cuaca pada bulan Ramadan itu ditambah pula dengan regim latihan dalam suasana sunyi tanpa sebarang muzik.

Setiap hari, Mhia perlu melakukan lompat tali selama 10 minit tanpa henti sebelum meneruskan latihan melompat di atas tayar sehingga hampir termuntah.

“Rasa loya itu seolah-olah mahu terkeluar, namun jurulatih tidak membenarkan kami berhenti. Kalau nak muntah, muntah sekarang kerana apabila sudah muntah nanti, badan kita sedang cuba menyesuaikan diri.

“Latihan dalam keadaan sunyi tanpa muzik itu sebenarnya satu lagi latihan untuk menguji ketahanan mental,” katanya.

Kecekalan itu membuahkan hasil apabila Mhia berjaya melakonkan sendiri sebahagian besar babak aksi di atas bot tanpa mengalami sebarang kecederaan atau lebam.

Dia bagaimanapun tidak lupa menghargai jasa pelakon pengganti (stunt double) yang mengambil alih babak larian di bawah terik matahari Terengganu demi menjimatkan tenaganya.

Malah, bagi menjayakan babak di dasar laut, Mhia sanggup mengambil lesen menyelam bebas (free diving) tanpa bantuan tangki oksigen yang mewajibkannya menahan nafas sekurang-kurangnya selama satu minit 30 saat.

“Sebaik sahaja berada di dalam air dan mencecah satu minit, dada mula berdegup kencang kerana kandungan karbon dioksida melebihi oksigen.

“Tetapi komitmen dan dedikasi kami memastikan semuanya dapat dilakukan sendiri dengan pemantauan 10 orang pasukan keselamatan penyelam,” katanya.

Namun, di sebalik ketangkasan fizikal itu, babak di lautan sebenarnya menyimpan sisi emosi paling mendalam buat Mhia kerana ia mengimbau tragedi pemergian arwah bapanya yang meninggal dunia akibat lemas.

Dengan sokongan padu ibunya yang sentiasa menemani di lokasi, keberanian arwah bapanya menyelamatkan rakan sebelum menghembuskan nafas terakhir menjadi sumber kekuatan terbesar Mhia.

“Saya dapat merasakan kekuatan yang arwah ada untuk mengucapkan selamat tinggal secara terhormat kepada sahabatnya memberi saya kekuatan sepanjang penggambaran.

“Walaupun secara fizikal saya tak dapat melihat ayah lagi, saya dapat merasakannya melalui laut itu,” katanya.

Selain aksi lasak, cabaran terbesar Mhia adalah menghayati watak Mina yang pekak dan bisu tanpa sebarang dialog lisan.

Keadaan itu menuntutnya bermain dengan ekspresi dalaman dan bahasa tubuh, sekali gus membuka matanya terhadap ketabahan golongan orang kurang upaya (OKU).

“Memegang watak ini membuatkan saya berasa amat bersyukur kerana dapat belajar bahawa nilai kemanusiaan sebenar tidak semestinya dizahirkan melalui kata-kata.

“Ada situasi dalam hidup di mana kita sendiri ketiadaan kata-kata untuk meluahkannya, namun kita tetap merasai kepedihannya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news