LATEST

JAS siasat punca bacaan IPU Batu muda melebihi 150

JAS siasat punca bacaan IPU Batu muda melebihi 150

asyikin.mat@hmetro.com.my

Baca juga: Wanita warga emas maut nahas dua kereta

Kuala Lumpur: Jabatan Alam Sekitar (JAS) menjalankan siasatan berhubung peningkatan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di Stesen Pengawasan Kualiti Udara Batu Muda, di sini yang merekodkan bacaan melebihi 150, iaitu pada tahap tidak sihat, sejak dua hari lalu.

JAS dalam kenyataan hari ini memaklumkan siasatan sudah dimulakan sejak 14 November lalu membabitkan pemeriksaan stesen pengawasan, rondaan lapangan dan pengesanan kemungkinan punca pencemaran udara di kawasan sekitar.

Menurut kenyataan itu, pemeriksaan awal mendapati stesen berkenaan beroperasi dengan baik.

“Bagaimanapun, semakan lanjut sedang dilaksanakan bagi mengesahkan bacaan yang direkodkan.

“Hasil rondaan mendapati dua kejadian pembakaran terbuka berskala kecil sudah dikenal pasti dan kebakaran ini berjaya dipadamkan pada hari yang sama.

“Bagaimanapun, bacaan IPU di Stesen Batu Muda didapati kekal melebihi 150, manakala Stesen Cheras yang berhampiran merekodkan bacaan sekitar 60,” katanya.

Menurutnya, JAS sedang menjalankan penelitian lanjut bagi mengenal pasti faktor yang menyumbang kepada perbezaan bacaan IPU antara kedua-dua stesen berkenaan.

“Sebagai langkah pengesahan, JAS mengarahkan pemasangan peralatan pemantauan kualiti udara tambahan berhampiran Stesen Batu Muda bagi mendapatkan data sokongan untuk analisis teknikal.

“Dapatan awal akan dimaklumkan selepas pemantauan selama 24 jam dan semakan teknikal dilaksanakan.

“Pada masa sama, pemantauan menggunakan dron turut dilaksanakan bagi membantu mengenal pasti kemungkinan punca pelepasan pencemar udara, termasuk aktiviti pembakaran terbuka di kawasan sekitar,” menurut kenyataan itu.

JAS berkata, orang ramai diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi individu tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja.

“Menurut Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mereka yang disabitkan dengan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Di samping itu, kompaun sehingga tidak melebihi 50 peratus denda maksimum boleh dikenakan atas setiap kesalahan.

“Orang ramai diminta bekerjasama untuk memadam kebakaran kecil dan melaporkan kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat serta JAS di talian bebas tol, 1-800-88-2727,” menurut kenyataan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news