Johor Bahru: Seorang wanita berusia 60 tahun maut dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Kilometer 45, Jalan Johor Bahru-Mersing dekat Kota Tinggi hari ini.
Baca juga: Selangor bentang kertas putih AI awal 2027 – MB
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian itu pada 2 petang.
“Kemalangan itu melibatkan kereta Toyota Vios dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun dengan kereta Proton Saga dipandu seorang wanita berusia 28 tahun.
“Warga emas berkenaan merupakan ibu kepada pemandu wanita itu, yang menaiki kereta berkenaan bersama-sama dua anak perempuan pemandu terbabit, masing-masing berusia tujuh dan lima tahun,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, kemalangan berpunca daripada Toyota Vios yang memasuki laluan bertentangan, seterusnya bertembung dengan Proton Saga.
Yusof berkata, warga emas itu yang berada di tempat duduk penumpang belakang meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada bahagian dalaman badan.
“Pemandu kedua-dua kenderaan serta dua kanak-kanak terbabit dirawat di Hospital Kota Tinggi manakala mayat dihantar ke Unit Forensik hospital sama bagi prosedur siasatan,” katanya.
Beliau berkata kemalangan itu sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
© New Straits Times Press (M) Bhd