LATEST

Himpunan Anti-Junta Myanmar berjalan lancar – Polis

Himpunan Anti-Junta Myanmar berjalan lancar – Polis

hafidzul@hmetro.com.my

Baca juga: Pakatan diketuai Arab Saudi pintas dua dron Houthi di wilayah Makkah

Kuala Lumpur: Himpunan Aman Anti-Junta Myanmar yang disertai kira-kira 150 peserta di Padang Merbok di sini, berlangsung dalam keadaan aman dan terkawal tanpa sebarang insiden yang menyalahi undang-undang.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin, berkata perhimpunan bermula pada jam 5 petang dan bersurai sepenuhnya pada jam 8.45 malam.

Beliau berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi mengesahkan penganjur memberikan notis pemberitahuan selaras dengan undang-undang sedia ada.

“Pihak penganjur sudah mengemukakan pemakluman awal kepada pihak polis selaras dengan peruntukan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Sepanjang perhimpunan berkenaan berlangsung, pihak penganjur dan semua peserta sudah memberikan kerjasama yang amat baik serta mematuhi kesemua Prosedur Operasi Standard (SOP) dan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihak polis juga menempatkan keanggotaan yang mencukupi di sekitar kawasan Padang Merbok bagi tujuan pemantauan keselamatan serta kawalan lalu lintas.

“Hasil pemantauan mendapati perhimpunan berjalan dengan lancar, terkawal, dan bersurai secara aman pada jam 8.45 malam tanpa sebarang insiden provokasi, kekecohan, atau gangguan ketenteraman awam.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur, peserta serta orang ramai atas kerjasama yang telah diberikan sehingga himpunan ini berlangsung aman dan lancar,” katanya.

Sebarang pertanyaan lanjut berhubung perkara ini, orang awam boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0522 / 03-2146 0585, Pusat Kawalan Daerah Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau tampil ke mana-mana balai polis yang berhampiran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news