BAGAN SERAI: “Masa kejadian, saya berada dalam bilik air dan terdengar bunyi dentuman kuat di belakang rumah,” kata warga emas, Habshah Chek Doh mengenai kejadian tanah runtuh merosakkan hampir keseluruhan kediamannya berhampiran Empangan Bukit Merah.
Baca juga: Serang gereja di Jordan: 3 lelaki dijatuhi hukuman mati
Habshah, 76, berkata selepas bunyi itu baru beliau menyedari anak dan cucunya sedang memanggil dan mencarinya.
“Ketika itu saya langsung tak menyedari apa-apa yang buruk berlaku.
“Selepas memberitahu mereka saya dalam bilik air, mereka terus memapah saya keluar dari rumah pergi ke gerai di hadapan sambil memaklumkan kejadian tanah runtuh.
“Sewaktu dipapah baru saya lihat semuanya,” katanya ditemui media di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Merah, malam tadi.
Berikutan itu, beliau serta anak dan cucu kini trauma untuk mendiami rumah berkenaan walaupun selepas dibaikpulih kerana bimbang perkara sama berlaku lagi.
Cucu mangsa, Muhammad Ridzwan Suhaimi, 19, berkata sewaktu kejadian dia sedang berehat dalam rumah sambil mendengar lagu.
“Masa kejadian sekitar jam 5.30 petang dan waktu itu hujan lebat. Bila terdengar bunyi sesuatu seperti roboh, saya bergegas periksa di bahagian stor belakang rumah dan mendapati tembok batu di bahagian stor runtuh dan mengenai rumah.
“Habis dinding rumah, peti ais dan barangan lain semua jatuh dan melihat kejadian itu baru saya teringat (atok) nenek yang tidak dapat berjalan tiada di tempat tidurnya.
“Mujur kami semua sempat keluar dan kami tidak pasti adakah selamat lagi jika kami tinggal di sana. Saya berharap ada pihak membantu memandangkan kami sekeluarga trauma untuk tinggal di sana lagi,” katanya.
Tinjauan mendapati tiga rumah berkenaan tidak selamat lagi diduduki berikutan terlalu hampir dengan bukit yang tinggi.
Selain itu, di Kampung Tepi Kolam juga berlaku tanah runtuh dan menghalangi jalan utama.
Bagaimanapun penduduk menyewa jentolak bagi membersihkan laluan berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd