KUALA LUMPUR: Rodrigo Holgado menafikan spekulasi yang mengaitkan dirinya sebagai antara pemain warisan yang bakal menyertai kelab gergasi Liga Malaysia (Liga M), Johor Darul Ta’zim (JDT).
Baca juga: Panik lihat sekatan jalan raya, seorang pemuda rempuh MPV polis
Penyerang berusia 31 tahun berkenaan tampil membuat penafian itu menerusi laman Instagram miliknya, hari ini dengan komen ringkas: “Tidak betul. Saya akan terbang ke tempat lain.”
Terdahulu, BH Sukan dan Arena Metro melaporkan terdapat dakwaan yang tersebar di aplikasi TikTok bahawa JDT bakal mengumumkan ketibaan seorang lagi pemain warisan yang sudah bebas daripada hukuman Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Akaun TikTok, EddyCodoz Kazama MrTabohz Amg mendakwa perkara itu akan diumumkan Khamis ini atau Selasa minggu depan.
“JDT umumkan ketibaan seorang lagi pemain warisan yang bebas daripada hukuman FIFA bakal menyertai JDT sama ada hari Khamis, 19 November atau Selasa, 24 November,” tulis akaun TikTok itu.
Perkongsian itu mencetuskan persoalan dan mendapat reaksi daripada segelintir penyokong dengan ada yang mula mengaitkannya dengan Facundo Garces, Imanol Machuca dan Holgado.
Semakan di laman transfermarkt bagaimanapun menunjukkan Garces masih mempunyai kontrak bersama kelab Sepanyol, Deportivo Alaves hingga Jun 2028, manakala kontrak Machuca dengan CA Independiente hingga Disember 2029.
Hanya Holgado tidak mempunyai baki kontrak yang panjang apabila kontraknya bersama kelab Coquimbo Unido akan berakhir hujung bulan depan, menurut laman transfermarkt.
Holgado sebelum ini dikaitkan dengan DPMM FC selepas kelab Brunei yang turut beraksi dalam Liga M itu secara terbuka menyatakan minat untuk mengikat penyerang berkenaan.
Tiga pemain itu bersama empat lagi pemain yang sudah menyertai JDT iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel dan Gabriel Palmero sebelum ini dikenakan penggantungan 12 bulan oleh FIFA susulan isu pemalsuan dokumen.
Hukuman itu sudah berakhir dan mereka boleh kembali beraksi bersama kelab masing-masing bermula 1 November lalu.
Bagaimanapun, sehingga kini masih belum ada kenyataan rasmi daripada JDT berhubung khabar angin itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd