am@hmetro.com.my
Baca juga: Guna AI, MV Samudera Nora Ariffin dikritik
Alor Setar: Seorang lelaki ditahan polis selepas memasuki kawasan Wisma Darul Aman, di sini tanpa berhenti sewaktu melalui pemeriksaan pos pengawal keselamatan sebelum mengeluarkan sebilah pisau ke arah pengawal keselamatan terbabit, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.10 pagi hari ini, suspek berusia 45 tahun yang menunggang motosikal jenis skuter Yamaha Ego Gear berwarna kelabu dipercayai memasuki kawasan pintu masuk bangunan berkenaan seorang diri.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, pengawal keselamatan berusia 29 tahun yang menyedari kejadian itu kemudian mengejar dan menahan suspek untuk bertanyakan tujuan kehadirannya.
Bagaimanapun, katanya, suspek secara tiba-tiba mengeluarkan sebilah pisau kecil berwarna hitam dari poket seluar sebelah kanan sebelum menunjukkannya ke arah pembantu keselamatan terbabit dan rakan sekerjanya.
“Suspek cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan pengadu hasil tindakan pantas pengawal keselamatan terbabit sebelum menghubungi polis.
“Polis yang tiba di lokasi kemudian menahan suspek serta menerima rampasan sebilah pisau berukuran kira-kira 15 sentimeter berserta sarung.
“Hasil pemeriksaan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, namun ujian saringan air kencing didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Syed Basri berkata, suspek ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Alor Setar untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, pemeriksaan badan ke atas suspek yang beralamat dari Kampung Berjaya, di sini tidak menjumpai sebarang barang salah atau dadah.
“Polis sudah merakam percakapan pengadu yang juga pengawal keselamatan di Wisma Darul Aman dan memaklumkan berlaku sedikit pergelutan semasa usaha menahan suspek dan merampas pisau.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (ABKLSB), ” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd