LATEST

Sanusi harap kerjasama BN-PN diteruskan untuk PRU16

Sanusi harap kerjasama BN-PN diteruskan untuk PRU16

am@hmetro.com.my

Baca juga: 70,195 PATI ditahan tempoh 10 bulan

Alor Setar: Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) diharap dapat diteruskan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang susulan kejayaan kedua-dua gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, semalam.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN dan PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya berharap ia menjadi kenyataan selepas melihat ia diterima majoriti pengundi.

“Alhamdulillah, menang banyak lebih daripada dulu. Saya harap begitulah (kerjasama diteruskan pada PRU akan datang),” katanya ketika ditemui selepas pembentangan Belanjawan Kedah 2027 di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Pada PRN Melaka ke-16, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh empat kerusi dan PN tiga kerusi.

Keputusan itu menyaksikan BN dan PN menguasai keseluruhan 24 kerusi sekali gus melepasi majoriti dua pertiga dalam DUN Melaka.

Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar berkata, kejayaan itu juga membawa mesej tersendiri kepada pihak berkaitan apabila rakyat sudah membuat penilaian terhadap perkembangan politik semasa.

Mengulas mengenai pembabitannya yang dilihat kurang berkempen di Melaka kali ini, Muhammad Sanusi berkata, beliau terpaksa memberi tumpuan kepada persiapan pembentangan Belanjawan Kedah 2027 yang memerlukan penelitian terperinci.

“Saya perlu tumpu pada Bajet Kedah 2027 kerana ia lebih panjang, lebih lama dan lebih terperinci.

“Kita kena fokus betul-betul pada pembentangan, jadi tak sempat (ke Melaka). Tapi ada orang lain ramai lagi (yang bantu kempen),” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news