LATEST

Tak rebut satu kerusi pun! UMNO-BN tak pernah berhasrat bertanding PRN Sarawak

Tak rebut satu kerusi pun!  UMNO-BN tak pernah berhasrat bertanding PRN Sarawak

Barisan Nasional (BN) tidak berhasrat meletakkan sebarang calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 susulan persefahaman yang terjalin antara UMNO dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di negeri itu.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan tersebut dibuat bagi menghormati persefahaman sedia ada, selain memberikan sokongan kepada PBB dalam menghadapi pilihan raya berkenaan.

Baca juga: Iran serang pangkalan tentera AS di Bahrain

“Barisan Nasional tidak ada niat untuk bertanding di mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sarawak kerana inilah persefahaman di antara UMNO dan PBB di Sarawak.
“UMNO dan BN tidak pernah berhasrat untuk meletakkan mana-mana calon dalam pilihan raya negeri di Sarawak,” katanya.

Kredit Foto: TVS Farhan Danial

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali anjuran Parti Progresif Penduduk.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Disember sebagai hari pengundian PRN Sarawak ke-13.

Pengerusinya, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, penamaan calon dijadualkan pada 28 November, manakala pengundian awal berlangsung pada 8 Disember dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Terdahulu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg mengumumkan pembubaran DUN Sarawak berkuat kuasa 26 Oktober lalu bagi memberi laluan kepada pilihan raya tersebut.

Sebanyak 82 kerusi DUN akan dipertandingkan selepas cadangan penambahan 17 kerusi baharu masih belum dimuktamadkan.

Sumber: Utusan Online (Fitri Nizam)

Latest news