sukan@hmetro.com.my
Baca juga: Zikir bilangan ganjil
Kuala Lumpur: Bakal Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) yang baharu, Datuk Seri Rosmadi Ismail menegaskan bahawa beliau bukan ‘superman’ yang memiliki kuasa luar biasa untuk menaikkan kembali persatuan itu seorang diri.
Rosmadi yang juga Naib Presiden 1 Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bakal diumumkan sebagai Presiden KAFA secara rasmi pada Kongres Luar Biasa, 26 November ini selepas menjadi calon tunggal bagi jawatan nombor satu persatuan itu.
Mengakui terkejut dengan keputusan Persatuan Bolasepak Jajahan (PBJ), Rosmadi mengucapkan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan walaupun sedar Kelantan memiliki ramai tokoh yang meminati bola sepak.
“Pertama sekali, dengan sokongan yang diberikan oleh PBJ mungkin akan memudahkan kerja untuk kita sama-sama mengembalikan KAFA di tempat sepatutnya.
“Pada masa yang sama, saya juga sudah pasti memerlukan sedikit masa untuk meneliti kelemahan dan mencari jalan penyelesaian terbaik.
“Perkara penting yang saya mahu tegaskan adalah ini bukan kerja perseorangan, sebaliknya saya tetap memerlukan bantuan daripada semua orang kerana saya bukan superman. KAFA perlukan semua orang untuk bergerak ke arah lebih baik,” katanya.
Selain Rosmadi, bekas pengurus pasukan Kelantan ketika zaman kegemilangan The Red Warriors (TRW), Azman Ibrahim juga bakal diumumkan menang tanpa bertanding bagi jawatan timbalan presiden.
Tiga jawatan naib presiden turut tidak akan ada pertandingan dengan kerusi itu bakal diisi Amin Zubair Muhamad, Khabir Sufi Burhanuddin dan Mohd Shukry Fauzi.
© New Straits Times Press (M) Bhd