am@hmetro.com.my
Baca juga: PAC digesa perluas skop siasatan projek Lebuhraya Pan Borneo Fasa 1
Kota Bharu: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas lebih 4,500 anak pokok durian bernilai lebih RM240,000 dalam dua serbuan berasingan di Rantau Panjang, semalam.
Dua lelaki turut ditahan dalam serbuan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan yang dilaksanakan pada jam 9 dan 10 pagi.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain, berkata dalam serbuan di Pangkalan Haram Yasin, Lubok Gong, pada jam 9 pagi, pihaknya merampas sebanyak 3,390 pokok durian yang dianggarkan bernilai RM169,500 serta menahan seorang lelaki berusia 38 tahun.
Katanya, lelaki itu mendakwa baru bekerja sebagai pemandu lori empat bulan lalu dan anak pokok berkenaan dari Muar, Johor untuk dihantar ke Rantau Panjang.
“Lelaki itu mendakwa mengambil upah RM1,500 untuk sekali penghantaran bagi jarak jauh.
“Dalam serbuan kedua di Jalan Lebuhraya Rantau Panjang pada jam 10 pagi, sebanyak 1,470 pokok durian bernilai RM73,500 dirampas dan lelaki berusia 52 tahun ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, lelaki itu mendakwa dia mengambil upah RM1,200 untuk sekali penghantaran jarak jauh dan mengambil bekalan dari Muar, Johor.
Menurutnya, dua lori jenis Isuzu yang dianggarkan bernilai RM300,000 turut dirampas.
“Rampasan dirujuk kepada Jabatan Pertanian Kota Bharu kerana disyaki berpenyakit dan untuk diambil tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 6 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167),” katanya.
i
© New Straits Times Press (M) Bhd