LATEST

Penduduk terkejut dengar dentuman kuat sebelum air melimpah dari tangki

Penduduk terkejut dengar dentuman kuat sebelum air melimpah dari tangki

am@hmetro.com.my

Baca juga: Pangkat datang bersama amanah! Sultan Nazrin ingatkan pemimpin wajib junjung integriti

Kuala Kangsar: Situasi air melimpah bagaikan air terjun dari menara tangki air di Taman Kuala Kangsar, di sini, mencetuskan perhatian pengguna media sosial selepas rakaman kejadian itu tular, sejak semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, menara tangki air bersturkturkan besi yang sebahagian daripadanya dilihat sudah berkarat, dikatakan pecah pada bahagian atas hingga air di dalamnya melimpah dalam kuantiti besar.

Tinjauan hari ini mendapati keadaan itu menyebabkan kerosakan pada sebahagian infrastruktur berhampiran termasuk pagar dawai yang mengelilingi kawasan tangki air, padang rumput serta kerosakan pada konkrit longkang.

Selain itu, biarpun tiada lagi limpahan air, kesan kejadian menyebabkan kawasan itu umpama baru dilanda banjir.

Menceritakan kejadian semalam, seorang penduduk, Ahmad Saufi Ahmad Khalil, 36, berkata, kejadian itu mula disedari apabila dia bersama ahli keluarganya terdengar bunyi dentuman kuat disusuli bunyi seakan-akan muatan pasir dipunggah dari lori.

“Ketika itu, saya di ruang tamu rumah dan bersiap kerana mahu keluar ke Ipoh. Dengar sahaja dentuman itu, pada mulanya disangkakan bunyi lori pasir, namun agak hairan kerana begitu kuat, lalu membuatkan kami sekeluarga meninjau ke luar rumah.

“Terkejut dengan kejadian itu, dua anak saya yang masih kecil menjerit, manakala saya merakam detik itu. Mujur limpahan air dari tangki itu tidak memasuki perkarangan rumah kami,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, ini kali pertama dia berdepan sendiri pengalaman sebegitu biarpun sudah mendiami kawasan terbabit sejak kecil, dengan tangki air milik Lembaga Air Perak (LAP) berkenaan difahamkan sudah berusia lebih 40 tahun.

Bapa dua anak itu berkata, insiden itu bagaimanapun tidak menjejaskan bekalan air ke rumahnya serta rumah penduduk lain.

Ia memandangkan mereka difahamkan bahawa bekalan air dialirkan secara terus ke rumah penduduk tanpa melalui tangki air itu.

Menurutnya, dia bersyukur kerana insiden itu tidak mengakibatkan kemalangan jiwa, mahupun kecederaan biarpun terdapat infrastruktur yang rosak.

Sementara itu, Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, siasatan awal LAP mendapati punca kejadian disebabkan oleh keadaan struktur tangki dengan kapasiti 455 meter padu itu yang sudah berusia lebih 40 tahun.

Menurutnya, langkah mitigasi yang diambil oleh LAP antaranya menjalankan kerja-kerja membuka kesemua panel tangki yang terjejas serta merancang kerja penggantian tangki baharu, selain melaksanakan penilaian teknikal secara menyeluruh terhadap struktur tangki lama.

“Secara keseluruhannya, bekalan air di kawasan terbabit yang membabitkan sebanyak 520 akaun pengguna adalah stabil dan tidak terjejas dengan pemantauan akan dilaksanakan dari masa ke semasa susulan insiden ini,” katanya sambil menambah tangki air itu mula digunakan sejak 1983.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news