LATEST
National

Pertimbang yuran, komisen e-dagang munasabah kurangkan beban peniaga kecil

Pertimbang yuran, komisen e-dagang munasabah kurangkan beban peniaga kecil

BUKIT MERTAJAM: Platform e-dagang di negara ini diseru mengurangkan kadar yuran perkhidmatan dan komisen dikenakan kepada usahawan kecil bagi membantu mereka menangani peningkatan kos operasi.

Baca juga: 38 lokasi berisiko kepala air di 12 daerah di Kedah, Baling paling banyak

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim Chee Keong, berkata langkah itu penting memandangkan kebanyakan usahawan kecil menjual produk sendiri dengan margin keuntungan rendah, sekali gus menyebabkan sebarang kenaikan caj platform e-dagang menambah beban perniagaan mereka.

Katanya, kementeriannya menerima banyak aduan daripada usahawan dalam talian berhubung kenaikan caj dikenakan platform e-dagang.

Beliau berkata, platform e-dagang tidak seharusnya menunggu sehingga kerajaan memperkenalkan undang-undang baharu untuk mengambil tindakan, sebaliknya perlu proaktif menawarkan kadar komisen lebih berpatutan kepada peniaga kecil.

“Saya minta platform e-dagang di Malaysia mengambil langkah ke hadapan dengan mengurangkan kos, yuran dan komisen, khususnya kepada peniaga kecil kerana kita tahu keuntungan mereka tidak besar.

“Kita tidak meminta mereka memberikan semuanya secara percuma, tetapi sekurang-kurangnya membantu usahawan kecil yang berdepan kenaikan kos bahan mentah dan operasi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan TikTok Shop Live Hub X TEKUN Nasional di TikTok Shop Live Hub Pulau Pinang, Bandar Perda, di sini, hari ini.

Steven Sim berkata, antara langkah boleh dipertimbangkan ialah memperkenalkan kadar komisen secara berperingkat mengikut saiz perniagaan bagi membolehkan usahawan kecil menikmati kadar lebih rendah.

Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang menggubal Rang Undang-Undang (RUU) e-Dagang yang dijangka dibentangkan awal tahun depan, termasuk membabitkan aspek ketelusan mekanisme harga.

“Saya berharap sebelum undang-undang baharu diperkenalkan, platform e-dagang mengambil inisiatif bekerjasama dengan kerajaan dan semua pihak berkepentingan untuk mencari penyelesaian yang menguntungkan semua pihak,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Steven Sim berkata, TEKUN Nasional kini mempunyai 12 studio TikTok Live Hub di enam negeri iaitu Sabah, Johor, Kuala Lumpur, Pahang, Kelantan dan Pulau Pinang.

Beliau berkata, hampir 1,300 usahawan di bawah KUSKOP sudah menggunakan kemudahan TikTok Live dan TikTok Shop dengan nilai jualan melebihi RM45 juta.

Katanya, kementerian menyasarkan sekurang-kurangnya satu kemudahan TikTok Live Hub diwujudkan di setiap negeri, tertakluk kepada kemampuan kewangan TEKUN Nasional.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news