BAITULMAQDIS: Perdana Menteri sementara Israel, Benjamin Netanyahu, semalam mengulangi gesaannya untuk pembentukan kerajaan perpaduan nasional bersama pesaing beliau, Gadi Eisenkot.
Baca juga: ‘Ulat parkir’ MRT Maluri ditahan polis
Bagaimanapun, Eisenkot yang diberi mandat oleh Presiden Israel untuk membentuk kerajaan baharu, menolak pelawaan Netanyahu itu, malah menyifatkannya sebagai satu muslihat.
Eisenkot kini giat mengadakan rundingan untuk membentuk kerajaan baharu, dengan bakal mengisi jawatan Perdana Menteri Israel.
“Pertemuan dengan Eisenkot pada Khamis lalu hanya menguatkan lagi keyakinan bahawa pembentukan sebuah kerajaan perpaduan nasional adalah penting bagi menjamin keselamatan Israel,” kata Netanyahu dalam satu kenyataan video.
Malah, Netanyahu mendakwa bahawa kerajaan sedemikian boleh ‘menghapuskan ancaman Iran untuk selama-lamanya’, selain terdiri daripada parti-parti yang mengiktiraf Israel sebagai ‘negara untuk orang Yahudi’.
Netanyahu turut mendakwa bahawa kerajaan berkenaan akan menangani cabaran keselamatan, terutama daripada Iran yang dituduhnya sebagai ‘tidak akan teragak-agak menggunakan senjata nuklear terhadap Israel’.
Selain itu, Netanyahu yang bakal menamatkan perkhidmatan sebagai Perdana Menteri, memberi amaran terhadap hasrat Eisenkot untuk membentuk kerajaan minoriti yang dinamakan sebagai ‘kerajaan kecemasan nasional’.
Perancangan itu bakal menyaksikan seramai 48 Ahli Parlimen di blok Eisenkot mengundi menyokong kerajaan pimpinannya, berbanding 46 yang menyokong Netanyahu.
Seramai 26 Ahli Parlimen lagi daripada parti-parti Arab dan ultra-Ortodoks pula boleh berkecuali, sekali gus membolehkan pembentukan kerajaan itu diluluskan tanpa majoriti mutlak dalam Knesset yang mempunyai 120 kerusi.
“Daripada cuba membentuk sebuah kerajaan yang lemah dan tergugat, lebih baik kita mengadakan pertemuan tanpa prasyarat, mengetepikan semua perselisihan serta boikot, dan mencapai perjanjian demi keselamatan serta masa depan Israel,” desak Netanyahu.
Tidak lama kemudian, Eisenkot pula respons dengan menegaskan Netanyahu ‘mengetahui dirinya tewas dalam pilihan raya’, malah mendakwa Netanyahu membuat ‘helah’ dengan menggesa agar kerajaan perpaduan dibentuk.
“Netanyahu mengajak untuk berunding sedangkan rundingan memang sedang berlangsung; beliau mendakwa mahukan perpaduan tetapi terus mencetuskan perpecahan serta ketegangan seolah-olah tiada hari esok.
“Muslihat sebegini tidak berkesan terhadap saya,” kata Eisenkot yang juga seorang bekas ketua tentera.
Pada 8 November lalu, Eisenkot diberikan mandat untuk membentuk kerajaan baharu Israel dalam tempoh 28 hari, dengan kemungkinan diberi pelanjutan selama 14 hari.
Bagaimanapun, rundingan dijangka berdepan kesukaran, lebih-lebih lagi susulan tindakan Netanyahu melancarkan kempen memburuk-burukkan parti-parti Arab-Israel yang mencatat rekod jumlah kerusi berjaya dibolot mereka pada pilihan raya baru-baru ini.
Kerajaan perpaduan dicadangkan Netanyahu terdiri daripada parti-parti utama Yahudi berhaluan tengah hingga kanan, tanpa membabitkan parti-parti Arab-Israel.
Sebelum ini, Eisenkot telah memberi isyarat bahawa beliau terbuka untuk membentuk kerajaan bersama anggota parti Likud pimpinan Netanyahu, dan parti Religious Zionism bawah Menteri Kewangan sementara, Bezalel Smotrich, dengan syarat mereka ‘ikhlas’ dalam komitmen terhadap perpaduan.
Namun, pembentukan kerajaan perpaduan yang turut membabitkan Netanyahu kekal dilihat sebagai berkemungkinan besar tidak akan berlaku, tambahan pula selepas Eisenkot mengecam kempen perkauman oleh Netanyahu terhadap parti-parti Arab.
Malah semalam, Eisenkot mengulangi gesaan beliau supaya ‘putuskan hubungan dengan golongan pelampau’, terutama penyokong menteri berhaluan kanan lampau, Itamar Ben Gvir, sebagai syarat untuk sebarang penyertaan dalam kerajaan pimpinannya kelak.
© New Straits Times Press (M) Bhd