mdroji@bh.com.my
Baca juga: DAP masih raih sokongan Melayu
Kuching: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan mengumumkan senarai penuh 82 calon yang bakal mewakili gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, pada 25 November ini.
Pengerusinya yang juga Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, pengumuman itu akan merangkumi semua calon daripada empat parti komponen GPS.
“Kita tahu semua pihak menunggu pengumuman rasmi itu dan kita akan berkongsi dengan semua pada 25 November,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Konvensyen Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Selatan, di sini, hari ini.
Konvensyen berkenaan adalah yang terakhir dianjurkan PBB selepas siri perhimpunan membabitkan zon Utara dan Tengah sebelum ini.
Beliau berkata, konvensyen itu memberi peluang kepada parti mengenal pasti barisan pemimpin berpotensi dalam kalangan ahli PBB, selain menilai perkembangan serta keadaan di kawasan masing-masing menjelang pilihan raya.
Menurutnya, PBB sebagai parti tunjang GPS perlu terus memperkukuh semangat dan kerjasama dengan parti komponen lain, iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Abang Johari berkata, beliau yakin gabungan itu mampu menggerakkan jentera pilihan raya secara bersepadu bagi memastikan kemenangan GPS pada hari pengundian, 12 Disember ini.
Mengulas kemungkinan berlaku perubahan dalam senarai calon, beliau tidak menolak kemungkinan gabungan itu menampilkan gabungan muka baharu dan pemimpin berpengalaman bagi memastikan kesinambungan kepimpinan.
“Saya tidak mahu sebut nama, tetapi kita memberi tumpuan kepada nama PBB dan membawa amanat PBB.
“Sudah tentu ada kemungkinan pertukaran dengan kita menampilkan golongan muda dan yang berpengalaman sebagai calon,” katanya.
Beliau turut memberi bayangan proses pemilihan calon mengambil kira keperluan memperkukuh barisan kepimpinan parti, termasuk memberi ruang kepada generasi muda untuk diketengahkan dalam pilihan raya kali ini.
Penamaan calon PRN Sarawak ke-13 ditetapkan pada 28 November ini, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 8 Disember sebelum hari pengundian pada 12 Disember.
© New Straits Times Press (M) Bhd