LATEST

KUSKOP pastikan platform e-dagang asing patuh undang-undang Malaysia

KUSKOP pastikan platform e-dagang asing patuh undang-undang Malaysia

am@hmetro.com.my

Baca juga: Ikan kuning jingga aneh ditemukan di pelabuhan New York

Bukit Mertajam: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan terus memastikan platform e-dagang luar negara mematuhi undang-undang Malaysia bagi mewujudkan persaingan yang adil kepada usahawan tempatan.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong, berkata kementerian melaksanakan strategi 3E iaitu Enforcement (penguatkuasaan), Empowerment (pemerkasaan) dan Enactment of policies and legislation (penggubalan dasar serta perundangan) bagi menangani persaingan daripada platform asing.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan akan diambil segera terhadap mana-mana platform luar negara yang gagal mematuhi undang-undang negara.

“Kita mahu wujudkan ‘level playing field‘ (persaingan yang adil). Apa yang dikenakan kepada usahawan Malaysia, platform e-dagang asing juga perlu mematuhinya.

“Ini kerana, kita tidak mahu berlaku persaingan yang tidak sihat sehingga pemain yang mempunyai modal besar menguasai keseluruhan pasaran.

“Dalam pada itu, kita juga tidak boleh hanya menyalahkan pihak luar, sebab itu kita turut memperkasakan usahawan tempatan melalui pembiayaan, pemprosesan yang lebih pantas, latihan, ilmu pengetahuan dan kaedah pemasaran yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung kebimbangan usahawan e-dagang Malaysia terhadap platform e-dagang asing yang menawarkan jualan lebih murah, sekali gus boleh menjejaskan pendapatan mereka.

Terdahulu, Steven Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam merasmikan Tiktok Shop Live Hub X Tekun Nasional di Bandar Perda, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Steven Sim berkata, kerajaan juga memastikan semua platform e-dagang asing mematuhi kewajipan percukaian serta piawaian keselamatan dan kualiti yang dikenakan di Malaysia.

Katanya, antara syarat yang perlu dipatuhi termasuk pensijilan SIRIM bagi barangan elektrik serta keperluan Agensi Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) bagi produk makanan.

Sementara itu, Steven Sim berkata, KUSKOP turut terbabit dalam proses memberi maklum balas terhadap penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) e-dagang baharu yang sedang disediakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan dijangka dibentangkan awal tahun depan.

“RUU ini bertujuan mewujudkan ekosistem e-dagang yang lebih adil serta memastikan usahawan tempatan, khususnya perusahaan mikro dan kecil, mampu bersaing secara sihat dengan pemain antarabangsa.

“Kita menyokong persaingan dalam pasaran terbuka, tetapi persaingan itu mestilah sihat dan memberi peluang sama rata kepada usahawan tempatan untuk berkembang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news