LATEST

AS cadang Ukraine serah Donbas kepada Russia untuk sertai NATO 

AS cadang Ukraine serah Donbas kepada Russia untuk sertai NATO 

KYIV: Amerika Syarikat (AS) mencadangkan Ukraine menyerahkan wilayahnya kepada Russia sebagai pertukaran untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu, Presiden, Volodymyr Zelensky berkata, cadangan itu menunjukkan isu keanggotaan Ukraine dalam pakatan ketenteraan Barat berkenaan kembali dibincangkan.

Baca juga: Pasar dalam pembinaan bernilai RM500,000 ranap

Utusan AS, Jared Kushner dan Steve Witkoff mengadakan pertemuan berasingan dengan Putin dan Zelensky pada Khamis selepas rundingan selama dua hari bersama delegasi masing-masing di Abu Dhabi yang berakhir tanpa sebarang kemajuan.

“Pihak AS membangkitkan satu persoalan bagaimana jika Ukraine menyertai NATO? Adakah Ukraine akan berundur dari Donbas?’ Ini kali pertama perkara itu dibangkitkan.

“Selepas AS memberikan sokongan pertahanan sedemikian kepada Ukraine serta melihat perkembangan ketenteraan dan kekuatan pertahanan negara itu, Washington tidak boleh membiarkan Ukraine begitu sahaja,” kata Zelensky.

Ukraine sejak sekian lama berusaha menyertai pakatan ketenteraan itu, namun Moscow menganggap perkara tersebut sebagai garis merah yang tidak boleh dilanggar.

Zelensky berkata, Kyiv sedang membincangkan jaminan keselamatan bersama rakan sekutu Barat, namun rakyat Ukraine akhirnya akan menentukan sama ada mahu menerima sebarang perjanjian.

Beliau menegaskan Ukraine tidak akan mengiktiraf mana-mana wilayah yang dirampas tentera Moscow sebagai sebahagian daripada Russia.

NATO dan Washington setakat ini belum memberikan sebarang komen secara langsung berhubung dakwaan Zelensky itu.

Bagaimanapun, Kushner yang juga menantu Presiden AS, Donald Trump menerusi hantaran di platform X berkata, media melaporkan terdapat cadangan maksimum daripada kedua-dua pihak, selain kenyataan politik yang tegas.

“Namun, kami bertekad untuk meneruskan usaha sukar ini, mengekalkan kerahsiaan yang diperlukan dalam rundingan sensitif serta mencari jalan untuk menamatkan perang yang dahsyat ini,” katanya.

Beliau berkata, beberapa idea baharu turut muncul daripada perbincangan itu dan kini sedang diteliti.

Mesyuarat minggu ini turut menghasilkan persetujuan negara-negara Eropah akan menyertai rundingan akan datang bagi menamatkan perang berkenaan.-AFP

The post AS cadang Ukraine serah Donbas kepada Russia untuk sertai NATO  appeared first on Utusan Malaysia.

Latest news