harisfadli@hmetro.com.my
Baca juga: Reformasi Parlimen perkukuh kebebasan badan perundangan – Anwar
Kuala Lumpur: Badan bukan kerajaan (NGO), Masyarakat Sivil (MASIV) berharap inisiatif lebih tegas berlandaskan undang-undang antarabangsa dapat dikenakan ke atas pemerintah Myanmar berhubung isu etnik Rohingya.
Ia susulan pelbagai usaha dilaksanakan ketika ini dilihat tidak begitu berkesan, malah berlaku lambakan pelarian etnik Rohingya yang menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan masyarakat negara ini hingga mendatangkan pelbagai isu berbangkit.
Aktivis, Mohd Azhan Mohd Adnan atau dikenali ramai sebagai Abe Hae berkata, keprihatinan dan kebaikan yang pernah ditunjukkan kepada mereka kini sudah mula dieksploitasi oleh pelarian berkenaan.
Menurutnya, sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama membuktikan keresahan masyarakat bukan berpunca daripada isu perkauman, sebaliknya timbul apabila golongan pelarian berkenaan dilihat semakin ‘besar kepala’.
“Waktu Abe datang ke sini (Kuala Lumpur) tahun 1998 untuk bekerja masa itu kalau Abe pergi ke Jalan Silang naik bas, kita pergi Chow Kit waktu itu seronok.
“Kita ada ramai orang Melayu, kita ada ramai orang Cina dan kita ada orang India. Jadi kita tak rasis.
“Sebab kita ada pelbagai bangsa, termasuk pelbagai Orang Asli dekat Malaysia, kita tak kisah, kan?
“Sehingga pada awal 90-an datang satu etnik ke Malaysia yang dipanggil Rohingya. Mereka ini pelarian perang, dan ketika itu Abe percaya adik kakak tak ada masalah pun,” katanya ketika berucap di Padang Merbok, di sini, hari ini.
Terdahulu, hampir 200 peserta dianggarkan menyertai himpunan anjuran MASIV di Padang Merbok, di sini, bermula jam 5 petang dan berakhir kira-kira 6.45 petang.
Turut berucap aktivis, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamarulzaman; dan pempengaruh yang juga seorang wartawan veteran, Zainal Rashid Ahmad atau lebih dikenali sebagai ZRA.
Sementara itu, wakil daripada Centre for Human Rights Research and Advocacy (CENTHRA), Azril Mohd Amin berkata, masalah yang ditanggung Malaysia ketika ini hanya boleh diselesaikan selepas punca sebenar iaitu kerajaan Myanmar dipertanggungjawabkan atas perbuatan mereka.
“Sebab itu kami menggunakan saluran perundangan untuk mencari dan menekan demi mencari solusi, menekan punca utama masalah ialah sikap Junta Myanmar.
“Baru-baru ini pun Filipina mengisytiharkan bahawa Myanmar tidak dibenarkan untuk hadir ke sidang kemuncak ASEAN.
“Itu adalah satu perkara yang baik, satu perkembangan yang baik.
“Ia bagi memastikan Myanmar mematuhi undang-undang, perintah atau keputusan Mahkamah Antarabangsa pada Januari 2020 untuk menghentikan genosid dan membenarkan etnik Rohingya pulang ke tanah air,” katanya.
Menurutnya, perintah mahkamah yang lebih tegas dijangka dikeluarkan oleh Mahkamah Antarabangsa (ICJ) sekiranya penghakiman pada 19 November nanti mendapati Myanmar bersalah melanggar Konvensyen Genosid 1948.
Katanya, Malaysia sebagai salah satu negara yang terkesan dalam isu itu perlu menggunakan saluran perundangan yang sah jika mahukan penyelesaian yang berpanjangan.
Untuk rekod, ICJ bakal memberikan penghakiman pada 19 November ini berhubung kes membabitkan pertuduhan difailkan oleh Gambia terhadap Myanmar yang dituduh melakukan genosid.
Menurut laporan berita antarabangsa, pertuduhan membabitkan kekejaman itu adalah kes pertama dibacakan di ICJ membabitkan kaum Rohingya yang dibangkitkan oleh negara ketiga bagi mempertahankan etnik atau negara berbeza.
From: hayati
© New Straits Times Press (M) Bhd