Klang: Kerajaan Negeri Selangor akan membentangkan Kertas Putih Kecerdasan Buatan (AI) awal tahun depan sebagai kerangka panduan menyeluruh untuk membentuk cara berfikir serta mengawal tahap kebergantungan rakyat termasuk pentadbiran negeri terhadap teknologi berkenaan.
Baca juga: Doktor 74 tahun hilang ketika luncur angin di Tanjung Bungah
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu bertujuan memastikan pengguna terus berupaya mengadaptasi dan mengendalikan teknologi secara bijak tanpa mengetepikan pertimbangan akal yang waras.
“Kita perlu menyiapkan fikiran kita, bagaimana kita berinteraksi, bertindak dan beradaptasi dengan AI. Ini antara kerangka yang kita hendak bawa dalam kertas putih itu dan akan menjadi pedoman kepada rakyat serta pentadbiran negeri supaya kita tidak bergantung sepenuhnya pada AI,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pendidikan Digital Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Peringkat Kebangsaan 2026 yang turut dihadiri Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPHS) Kementerian Pendidikan (KPM) Mohd Hanafi Samad serta Pengarah Pendidikan Selangor Wan Nor Ashikin Abu Kassim hari ini.
Amirudin berkata elemen literasi dan pemikiran kritikal itu turut akan diterapkan dalam program pemberian 50,000 akses AI percuma melalui kerjasama dengan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC).
“Perkara ini akan dimasukkan dalam sukatan pelajaran kursus yang akan dikawal dan dikelolakan oleh STDC sebagaimana yang dibentangkan dalam Belanjawan Selangor 2027,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau menekankan kepentingan penguasaan teknologi digital dalam memacu sektor pendidikan negara kerana mampu mempercepat proses pemahaman murid, termasuk memastikan pembelajaran ketika negara berdepan krisis atau bencana seperti jerebu dan banjir menerusi pembelajaran dalam talian.
Terdahulu, PIBKS menghimpunkan 30 reruai pameran daripada jabatan pendidikan, agensi kerajaan serta rakan strategik dengan tema “Sinergi Digital Memperkasakan Pendidikan MADANI” bagi memperluas penglibatan pihak berkepentingan dalam ekosistem pendidikan, sejajar dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035.
© New Straits Times Press (M) Bhd