am@hmetro.com.my
Baca juga: Rakyat Palestin kebumikan 70 mangsa ditemukan di bawah runtuhan di utara Gaza
Kuala Selangor: Masalah banjir termenung yang masih membelenggu penduduk Kampung Bukit Hijau dan Kampung Parit Mahang, Jeram, di sini dijangka dapat diatasi menerusi pemasangan dua unit pam air tambahan.
Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu diambil susulan keadaan air banjir yang belum surut sepenuhnya selepas bencana berkenaan, baru-baru ini.
Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya meninjau keadaan semasa serta kesukaran dihadapi penduduk yang terjejas.
“Hasil tinjauan mendapati beberapa kawasan masih digenangi air, sekali gus menjejaskan keselesaan dan urusan harian penduduk setempat.
“Sebagai tindakan segera, kerja pemasangan dua unit pam air tambahan sedang dilaksanakan hari ini bagi mempercepatkan proses pengepaman dan pengaliran keluar air yang bertakung,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dzulkefly berkata, penambahan itu melengkapi dua unit pam sedia ada yang sudah beroperasi di Jambatan Parit Mahang sebelum ini, menjadikan keseluruhan empat unit pam digunakan bagi menangani masalah berkenaan.
“Penduduk berharap pengoperasian semua pam itu dapat mempercepatkan proses penyusutan air banjir di kedua-dua kampung terbabit.
“Pemantauan berterusan juga akan dilakukan bagi memastikan masalah air termenung dapat diselesaikan secepat mungkin, selain kebajikan dan keselesaan penduduk Kuala Selangor terus diberi perhatian,” katanya.
Dilaporkan banjir menjejaskan lima kampung di Kuala Selangor, termasuk Kampung Bukit Hijau dan Kampung Parit Mahang, manakala tujuh PPS masih beroperasi berdasarkan data Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
© New Straits Times Press (M) Bhd