asyikin.mat@hmetro.com.my
Baca juga: ‘Masa kejadian saya dalam bilik air, dengar bunyi dentuman kuat di belakang rumah’ – mangsa
Kuala Lumpur: Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) menolak politik identiti yang dibawa UMNO dan PAS serta pendekatan Pakatan Harapan (PH) ketika ini yang didakwa secara tidak langsung menjadi pencetus kepada pengukuhan politik identiti kedua-dua parti berkenaan.
Pengasas BERSAMA, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, politik identiti di Malaysia ketika ini semakin ‘membara’ apabila pengundi Melayu bersatu di bawah payung UMNO dan PAS, manakala pengundi bukan Melayu pula bergabung di bawah DAP.
“UMNO dan PAS memerlukan DAP untuk menakutkan pengundi Melayu manakala DAP memerlukan UMNO dan PAS untuk menjadi pembela kepada pengundi bukan Melayu,” katanya menerusi perkongsian video di media sosial malam tadi.
Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, meskipun UMNO dan PAS serta DAP sedang menunggang gelombang politik identiti ini, namun BERSAMA tidak gentar untuk melawan kedua-dua kumpulan politik itu dalam spektrum politik masing-masing.
“Kepada mereka yang mempersoalkan strategi BERSAMA, kita tahu ia misi yang berbahaya, tapi kita juga yakin ia satu keperluan untuk masyarakat.
“Kami bukanlah UMNO dan PAS yang menjadikan DAP musuh utama, tetapi tidak pernah berani berdepan dengan DAP di kubu kuat mereka.
“Begitu juga, DAP yang menjadikan UMNO dan PAS sebagai musuh utama, tetapi menghantar PKR dan AMANAH untuk berhadapan dengan parti berkenaan.
“Kami percaya untuk melawan politik identiti di kedua-dua spektrum, kami perlu berani bermula dengan membina kekuatan sedikit demi sedikit bagi memadamkan api besar politik identiti ini,” katanya.
Rafizi berkata, parti politik lain termasuk PKR, AMANAH, Parti Wawasan Negara (WAWASAN) dan lain-lain sebenarnya hanya menumpang kepada kekuatan politik identiti, iaitu kelompok Melayu dan bukan Melayu.
“Lebih kuat pengundi Melayu bergabung di bawah UMNO dan PAS, maka lebih tegar pengundi bukan Melayu akan menguatkan DAP.
“Ini menghasilkan kitaran yang makin menjauhkan sesama kita pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata, kitaran politik yang memberi kuasa yang terlalu kuat kepada politik identiti seperti itu juga menjadi punca kepada skandal besar negara sebelum ini.
“Semua skandal besar negara berlaku selepas UMNO menang dalam pilihan raya. Nampaknya kitaran ini akan berulang kembali.
“Di peringkat permulaan ini, BERSAMA tidak pernah bermimpi untuk membentuk kerajaan atau menang besar dalam pilihan raya.
“Kami bukan PKR yang ditubuhkan untuk menjadi ‘lebuh raya’ mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri atau AMANAH sebagai landasan kepada bekas pimpinan PAS atau BERSATU, WAWASAN serta parti politik lain yang sibuk mencari rakan kerjasama ke Putrajaya tanpa membina kekuatan sendiri terlebih dahulu,” katanya.
Rafizi berkata, sebaliknya BERSAMA diwujudkan untuk menjadi ‘pendinding’ kepada ‘api’ politik identiti itu yang mengajar rakyat menerima rasuah, kelemahan pentadbiran, politik persembahan, seterusnya merendahkan standard ukuran politik sepatutnya.
Terdahulu, media melaporkan, seorang daripada 16 calon BERSAMA yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berjaya mengekalkan wang deposit, manakala 15 lagi kehilangan deposit selepas gagal memperoleh jumlah undi yang ditetapkan.
Calon BERSAMA di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, Dr Muhammad Solehin Saleh, memperoleh 4,140 undi sekali gus menjadi satu-satunya calon parti itu yang berjaya mengekalkan wang deposit.
© New Straits Times Press (M) Bhd