LATEST
National

RMSIR 2026: Blitz menang perlumbaan pertama

RMSIR 2026: Blitz menang perlumbaan pertama

PULAU PANGKOR: Pasukan Blitz muncul juara pada perlumbaan pertama Regatta Antarabangsa Raja Muda Selangor (RMSIR) 2026 dari Pelabuhan Klang ke Pangkor, Perak, di sini hari ini.

Baca juga: ‘Masa kejadian saya dalam bilik air, dengar bunyi dentuman kuat di belakang rumah’ – mangsa

Diketuai jurumudi Warwick Downes, sembilan anak kapal yang bersaing dalam kategori perlumbaan Kelas 1 itu mencatat masa 12 jam 40 minit 17 saat.

Downes mengakui keputusan itu di luar jangkaan, terutama kerana Blitz ialah kapal layar paling kecil yang bertanding dalam kategorinya.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan kerjasama erat antara anggota pasukan serta keupayaan memanfaatkan keadaan angin sebagai faktor kejayaan dalam perlumbaan pembukaan itu.

“Ini kapal layar paling kecil dalam kategori kami, tetapi ia kapal yang hebat. Anak kapalnya juga hebat.

“Kami memulakan perlumbaan dengan baik, belayar sedikit ke tengah laut untuk mendapatkan tiupan angin yang lebih sesuai, dan berjaya menunjukkan prestasi memberangsangkan pada peringkat awal perlumbaan,” kata Downes kepada Bernama selepas majlis penyampaian hadiah di sini malam ini.

Sementara itu, juara bertahan The Next Factor menduduki tempat kedua dengan catatan masa 12 jam 47 minit 10 saat, manakala Uranus di tempat ketiga dengan masa 13 jam 37 minit 32 saat.

Dalam pada itu, Pasukan Shahtoosh menjuarai Kelas 2, manakala Insanity muncul johan Kelas 3.

Niobe meraih gelaran juara Kelas 4, sementara Skybird mengungguli kategori Kelas 5, sekali gus melengkapkan senarai pemenang bagi perlumbaan pertama.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Perlumbaan RMSIR berlangsung dari 13 hingga 21 Nov dan akan diteruskan ke Pulau Pinang esok sebelum berakhir di Langkawi.

RMSIR yang mula dianjurkan pada tahun 1990 ialah regatta kedua tertua di Asia, dan cetusan idea Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang pada ketika itu bergelar Raja Muda Selangor semasa perlumbaan berkenaan mula diperkenalkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news