Manila: Pemimpin ASEAN bersetuju mengekalkan perwakilan Myanmar pada sidang kemuncak dan mesyuarat menteri-menteri luar blok itu pada peringkat bukan politik sehingga terdapat kemajuan bermakna dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC).
Baca juga: Puyol, Pique dan Van Dijk sumber inspirasi Cubarsi
Dalam keputusan yang diterima pakai pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 di sini pada Ahad, pemimpin blok itu berkata penyertaan Myanmar dalam mesyuarat badan atau mekanisme kementerian sektoral ASEAN yang lain harus kekal tanpa sekatan di semua peringkat.
Pemimpin ASEAN bersetuju untuk mengadakan libat urus dengan Myanmar secara berperingkat, dengan mengambil kira perkembangan di lapangan dan kemajuan pelaksanaan 5PC.
“Tertakluk kepada kemajuan yang mampan dan konkrit dalam pelaksanaan 5PC oleh Myanmar, ASEAN boleh mempertimbangkan pengembalian semula perwakilan politik penuh Myanmar secara berperingkat,” kata mereka.
Mereka menegaskan semula bahawa 5PC kekal sebagai kerangka utama ASEAN dalam menangani krisis politik Myanmar dan menggesa pelaksanaannya secara menyeluruh bagi membantu rakyat negara itu mencapai keamanan yang inklusif dan berkekalan menerusi proses yang dimiliki dan diterajui sendiri oleh mereka.
Pemimpin ASEAN turut menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap kemajuan yang tidak mencukupi dalam pelaksanaan konsensus itu, namun mengakui terdapat sedikit kemajuan dalam penyaluran bantuan menerusi Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan mengenai Pengurusan Bencana (Pusat AHA).
Mereka menggesa semua pihak di Myanmar, khususnya angkatan tentera, pasukan keselamatan dan kumpulan bersenjata, supaya meredakan keganasan serta menghentikan serangan yang menyasarkan orang awam dan infrastruktur awam.
“Kami mengulangi gesaan supaya keganasan dihentikan,” menurut mereka sambil menekankan keperluan gencatan senjata yang berterusan di seluruh negara bagi membolehkan bantuan disalurkan kepada golongan memerlukan dan membuka jalan kepada dialog kebangsaan yang inklusif.
Pemimpin ASEAN berkata utusan khas pengerusi ASEAN akan meneruskan libat urus dengan semua pihak berkepentingan yang berkaitan di Myanmar bagi membina kepercayaan menjelang dialog berkenaan.
Mereka turut menggalakkan penyelarasan erat dengan utusan khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Myanmar.
Pemimpin ASEAN mengalu-alukan misi pemantauan Pusat AHA pada 28 Oktober yang diketuai utusan khas ASEAN, yang menandakan permulaan operasi bantuan selama sebulan untuk lebih 11,000 isi rumah, termasuk di empat kawasan perbandaran keutamaan yang masih belum menerima bantuan daripada pusat itu.
Mereka menggesa supaya bantuan ASEAN disalurkan secara langsung kepada penduduk yang kehilangan tempat tinggal akibat pertempuran di Myanmar, dengan penyaluran bantuan berpandukan penilaian keperluan bersama oleh Pusat AHA.
Pemimpin ASEAN turut menggesa rakan antarabangsa meningkatkan pembiayaan bagi usaha bantuan pusat itu dan menyeru Myanmar memudah cara penyaluran bantuan secara selamat, tepat pada masanya dan tanpa diskriminasi, termasuk kepada komuniti yang masih belum menerima bantuan.
Mereka mengarahkan pegawai kanan meneruskan perbincangan mengenai cadangan pelantikan utusan khas ASEAN mengenai Myanmar bagi tempoh lebih panjang serta kaedah menilai kemajuan pelaksanaan 5PC.
Menteri luar ASEAN juga diarahkan meneruskan libat urus dengan Myanmar, termasuk melalui rundingan tidak rasmi selaras dengan 5PC.
“Kami akan menyemak semula keputusan di atas pada sesi akan datang dan memberikan mandat kepada Menteri-Menteri Luar ASEAN untuk terus memantau kemajuan serta melaporkannya kepada Sidang Kemuncak ASEAN yang berikutnya,” menurut pemimpin berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd