TOKYO: Menteri Pertahanan Jepun, Shinjiro Koizumi hari ini, berkata kementeriannya akan merangka pelan baharu dikenali sebagai Visi AI Pertahanan yang memperincikan penggunaan kecerdasan buatan (AI) selaras dengan perkembangan pesat teknologi itu.
Baca juga: Kad pokemon bernilai lebih RM500,00 dicuri dalam rompakan di Denmark
Menurut Kyodo News, pasukan Pertahanan Diri Udara Jepun akan mula melengkapkan sistem amaran dan kawalan automatiknya dengan AI mulai Mac tahun depan.
Visi AI baharu yang dijangka dirangka seawal bulan ini akan mengemas kini dasar asas sedia ada mengenai penggunaan AI dalam bidang seperti pengesanan sasaran, perintah dan kawalan serta sokongan logistik.
“Kita tidak seharusnya teragak-agak untuk membuat semakan apabila perlu kerana bidang AI berkembang dengan begitu pesat,” kata Koizumi kepada pemberita selepas menghadiri satu upacara di Kem Kurihama milik Pasukan Pertahanan Diri Darat Jepun di Yokosuka, Wilayah Kanagawa, berhampiran Tokyo.
Beliau berkata, penggunaan AI dan data seharusnya membantu Jepun memperkukuh pertahanannya.
Jepun dijangka mengemas kini tiga dokumen utama berkaitan pertahanan dan keselamatan negara pada tahun ini bagi menghadapi perubahan persekitaran keselamatan dengan lebih berkesan.
© New Straits Times Press (M) Bhd