LATEST

Belum pulih daripada kehilangan anak, keluarga diuji banjir

Belum pulih daripada kehilangan anak, keluarga diuji banjir

am@hmetro.com.ny

Baca juga: ASEAN kekalkan sekatan perwakilan Myanmar, tetap syarat penyertaan semula

Kuala Selangor: Belum reda kesedihan kehilangan anak sulung akibat penyakit jarang berlaku bulan lalu, sepasang suami isteri sekali lagi diuji apabila kediaman mereka dilanda ‘banjir termenung’.

Lebih menyedihkan, dua ujian yang hadir hampir serentak itu menyebabkan pasangan terbabit belum mempunyai kekuatan untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Siti Aishah Mat Jais, 37, berkata, dia dan suami, Mohamad Shaffie Noraziz, 40, masih terkesan dengan pemergian anak perempuan mereka, Nur Amanda Batrisya, 12, yang meninggal dunia akibat sindrom Loeys Dietz pada 17 Oktober lalu.

“Kesedihan kami belum hilang akibat pemergian anak, ditambah pula dengan rumah yang dinaiki air.

“Saki-baki kekuatan yang ada cuba kami kumpul meskipun ujian ini berat untuk ditanggung,” katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Rendah Agama (SRA) Bukit Kuching, Jeram, di sini hari ini.

Siti Aishah yang menetap di Kampung Bukit Kuching hampir 30 tahun berkata, kejadian banjir biasanya menjadi ‘acara tahunan’ dan dia sekeluarga akan berpindah ke PPS.

“Namun tahun ini berbeza kerana anak sudah tiada. Kalau tidak, pasti dia ikut kami dan gembira tinggal di PPS.

“Selain keluarga, Nur Amanda Batrisya turut menjadi kesayangan penduduk setiap kali kami keluar ke kawasan kampung,” katanya yang menjalankan perniagaan sate.

Siti Aishah berkata, dia sebak apabila hari lahir anaknya bakal menjelang tidak lama lagi iaitu pada 5 Disember ini.

“Saya dan suami merasakan yang Nur Amanda Batrisya masih ada bersama kerana kenangan bersamanya kini menjadi memori yang tidak pernah luput,” katanya.

Dalam perkembangan sama, dia berharap banjir termenung itu segera surut kerana dikhuatiri menjejaskan perniagaan yang bergantung kepada pendapatan harian.

“Buat masa ini, air di sekeliling rumah masih statik, stok bahan niaga pula masih berada dalam peti sejuk beku.

“Apa yang membimbangkan adalah paras air akan naik semula sekiranya hujan berterusan dan memasuki kediaman yang akhirnya banyak perabot dan barang elektrik musnah ditenggelami air,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news