Trbovlje, Slovenia: Dua atlet sukan udara ekstrem mencipta sejarah apabila dilancarkan ke udara dari cerobong industri setinggi 360 meter menggunakan alat yang disifatkan penganjur sebagai lastik manusia terbesar di dunia.
Baca juga: Belum pulih daripada kehilangan anak, keluarga diuji banjir
Memetik laporan Euronews, juruterbang sut sayap dari Sepanyol, Dani Román, 35, dan penerjun BASE dari Perancis, Fred Fugen, 47, melakukan aksi berkenaan pada 5 November lalu di bekas Stesen Janakuasa Trbovlje yang menempatkan cerobong tertinggi di Eropah.
Berbeza dengan aksi terjun dari struktur tinggi, kedua-dua atlet itu dilancarkan ke udara menggunakan lastik menegak khas sepanjang 60 meter yang dipasang di bahagian atas cerobong berkenaan.
Dalam percubaan solo, Román memecut dari keadaan pegun kepada kelajuan 180 kilometer sejam dalam masa hanya 2.15 saat, sekali gus mengalami daya pecutan sehingga 4.2 G.
Dia kemudian terus meluncur naik sehingga 100.36 meter selepas meninggalkan alat pelancar itu, sekali gus mencatat Rekod Dunia Guinness (GWR) bagi ketinggian tertinggi dicapai menerusi lastik manusia.
Pasangan itu kemudian melakukan percubaan pelancaran serentak, mencapai kelajuan 145 kilometer sejam dalam masa 2.66 saat, sekali gus mencatat satu lagi GWR bagi jumlah ketinggian tertinggi dicapai menerusi lastik manusia iaitu 151.72 meter.
Dalam percubaan itu, Román mencapai ketinggian tambahan 75.97 meter, manakala Fugen mencapai 75.75 meter selepas dilancarkan ke udara.
Kedua-dua atlet itu membuka payung terjun masing-masing selepas pergerakan menaik bertukar kepada jatuh bebas.
Projek berkenaan mengambil masa dua tahun setengah untuk dibangunkan dan direka oleh kumpulan aksi lagak ngeri dari Slovenia, DD Squad, dengan sokongan Red Bull dan Prada Linea Rossa.
© New Straits Times Press (M) Bhd