LATEST
National

Cristianinho sertai skuad bawah 17 tahun Portugal

Cristianinho sertai skuad bawah 17 tahun Portugal

LISBON: Cristiano Ronaldo Jr diperhatikan beberapa pemain senior Portugal ketika membuat penampilan sulung bersama skuad bawah 17 tahun negara itu pada Khamis, apabila beraksi selama 20 minit terakhir dalam kemenangan 4-0 ke atas Andorra pada aksi kelayakan Kejohanan Eropah.

Baca juga: Puyol, Pique dan Van Dijk sumber inspirasi Cubarsi

Vitinha, Ruben Neves, Goncalo Ramos dan Joao Felix antara yang hadir menyaksikan perlawanan di kompleks Cidade do Futebol milik Persatuan Bolasepak Portugal di Oeiras, pinggir Lisbon, sebelum menjalani sesi latihan masing-masing.

Bagi penyerang Al-Nassr berusia 16 tahun yang dikenali sebagai Cristianinho itu, penampilan berkenaan menjadi satu lagi langkah ke hadapan dalam karier antarabangsa, ketika berlaku peralihan generasi dalam bola sepak Portugal.

Pengendali pasukan, Filipe Ramos, menyenaraikannya dalam skuad 23 pemain pada 2 November, tiga hari sebelum bapanya bersara daripada bola sepak antarabangsa.

Anak sulung bekas kapten Portugal itu membuat penampilan sulung bersama skuad bawah 15 tahun pada tahun 2025 sebelum diserap ke skuad bawah 16 tahun, dengan mengumpul 13 penampilan bagi kedua-dua peringkat umur berkenaan.

Portugal seterusnya akan menjadi tuan rumah kepada Bulgaria dan Serbia dalam pusingan pertama kelayakan Kejohanan Eropah Bawah 17 Tahun 2027, dengan dua pasukan teratas mara ke pusingan seterusnya.

Semua perlawanan Portugal akan berlangsung di Cidade do Futebol.

Nama Ronaldo Jr sudah tentu menarik perhatian, namun bapanya sejak sekian lama mengimbangi cita-cita terhadap anaknya dengan mengakui bahawa latar belakang keluarga terkenal bukan jaminan untuk berjaya.

“Sudah tentu, saya mahu Cristiano Junior menjadi pemain bola sepak dan pemain bertaraf tinggi seperti bapanya,” kata Ronaldo pada tahun 2016 ketika anaknya berusia enam tahun.

Dua tahun kemudian, Ronaldo berkata dalam temu bual bersama DAZN bahawa beliau melihat beberapa ciri yang membantu membentuk karier luar biasanya turut ada dalam permainan anaknya.

“Dia sangat kompetitif, sama seperti saya ketika kecil. Dia tidak suka kalah. Dia akan menjadi seperti saya, saya 100 peratus yakin mengenainya.

“Saya suka mengajarnya beberapa perkara, tetapi dia bebas menentukan apa yang mahu dicapainya dan saya akan sentiasa menyokongnya,” katanya.

Portugal menjuarai kejohanan Vlatko Markovic Bawah 16 Tahun di Croatia pada tahun 2025, dengan Cristianinho meniru gaya sambutan jaringan ikonik bapanya selepas meledak gol ketika kemenangan 3-0 ke atas Wales pada separuh akhir.

Pemain remaja itu pernah menjalani latihan dalam akademi Juventus dan Manchester United sebelum berpindah ke Arab Saudi pada tahun 2023.

Kini, kedua-duanya beraksi bersama Al-Nassr, meskipun pada peringkat berbeza, dengan Cristianinho menjaringkan tiga gol dalam tujuh perlawanan pasukan remaja musim ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news