LATEST

Dr. Che Saad modenkan pembuatan capal warisan 

Dr. Che Saad modenkan pembuatan capal warisan 

BERMULA dengan melihat kesukaran menghasilkan capal secara tradisional lebih dua dekad lalu, pengasas Sentuhan Budi Trading, Dr. Che Saad Saep mengambil inisiatif memodenkan proses pembuatan produk warisan Melayu itu tanpa menghilangkan identiti asalnya.

Dr. Che Saad yang mula terlibat dalam pembuatan capal pada 2000 berkata, idea itu tercetus selepas bertemu seorang rakan lama yang menghasilkan capal secara kecil-kecilan di rumah.

Baca juga: Sanggup tinggal upah lumayan di luar negara demi berbakti pada tanah

“Waktu itu saya tengok proses buat capal sangat susah. Corak kena lukis, potong, tebuk lubang dan kemudian jahit satu-satu.

“Sedangkan permintaan ada, terutama bila Ramadan. Jadi saya fikir, kalau cara ini diteruskan, memang susah nak tingkatkan pengeluaran,” katanya ketika ditemui di bengkel beliau di Kampung Chemumar Tengah, Perlis dalam Program Lawatan Media Cuti-Cuti Malaysia Surreal Experiences Perlis anjuran Tourism Malaysia pada September lalu.

Katanya, beliau kemudian mula mencari kaedah untuk memudahkan proses pembuatan, termasuk menghasilkan acuan bagi kerja memotong dan menebuk lubang pada capal.

“Pengalaman saya dalam bidang pembuatan acuan banyak membantu. Saya mula fikir macam mana nak buat acuan yang boleh percepatkan kerja.

“Bila ada acuan, kerja memotong dan membuat lubang jadi lebih tersusun dan cepat,” katanya.

Selepas itu, beliau turut belajar menggunakan mesin jahit bagi mempercepatkan proses mencantum bahagian capal sebelum pengeluaran ditingkatkan secara berperingkat.

“Pada awalnya kita buat dalam 200 hingga 400 pasang sahaja. Lepas itu saya mula bagi kepada kawan-kawan yang berniaga di pasar malam dan bazar untuk jual secara borong.

“Tak ramai orang yang buat capal, tetapi orang yang nak beli ramai,” katanya.

Pada 2001, Sentuhan Budi Trading mula beroperasi sebelum perniagaan dikembangkan secara berperingkat, termasuk berpindah ke Kulim pada 2009 dengan kemudahan pengeluaran yang lebih baik.

“Saya bermula kecil sahaja. Dekat rumah, ruang pun kecil, kemudian pasang mesin dan buat sedikit demi sedikit.

“Bila permintaan bertambah, kita tambah kemampuan pengeluaran. Ada juga kita dapat bantuan melalui program dan geran berkaitan inovasi,” ujarnya.

Dalam usaha memenuhi keperluan pengguna, Dr. Che Saad turut menghasilkan pelbagai variasi capal menggunakan bahan seperti paip Polyvinyl Chloride (PVC) dan kulit.

“Capal kanak-kanak kita buat menggunakan PVC supaya harganya lebih mampu milik. Harga sekitar RM35 sepasang.

“Untuk orang dewasa pula ada yang RM130 hingga RM250, bergantung kepada bahan dan reka bentuk,” katanya.

Kini, pengeluaran capal dianggarkan sekitar 5,000 pasang setahun dengan permintaan terhadap capal kanak-kanak lebih tinggi berikutan harganya yang lebih rendah.

“Bagi saya, yang penting bukan semata-mata berapa banyak kita boleh jual. Saya mahu capal ini terus berkembang tetapi masih kekal sebagai capal.

“Kita boleh modenkan cara buat, gunakan teknologi dan mesin, tetapi identiti dan nilai tradisional itu jangan hilang,” katanya.

Dalam usaha memastikan kemahiran pembuatan capal terus diwarisi, Dr. Che Saad turut menyediakan pusat latihan di kilangnya di Kampung Chemumar Tengah, Perlis dengan latihan sehari dikenakan bayaran RM300.

“Baru-baru ini ada peserta dari Selangor datang belajar. Saya memang mahu lebih ramai orang belajar cara buat capal.

“Kalau boleh, saya mahu kembangkan latihan ini melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada tahap satu, dua dan tiga,” katanya.

Pada masa sama, beliau menjalankan penyelidikan bersama sebuah universiti di Shah Alam berkaitan kelembutan, keselesaan dan kesesuaian capal, manakala hasil kajian masih dalam proses.

“Kalau ada kajian, kita boleh tahu apa yang perlu diperbaiki. Kita bukan sekadar buat ikut pengalaman, tetapi ada data untuk kita jadikan panduan.

“Ini semua untuk pastikan capal kita lebih selesa dan sesuai digunakan,” katanya.

Bagi mengukuhkan identiti perniagaan, jenama Dr. Saad yang digunakan pada produk berkenaan juga telah dimasukkan ke dalam rekod Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

“Capal ini sebahagian daripada identiti orang Melayu. Saya tak mahu ia hilang begitu sahaja.

“Saya mahu generasi akan datang masih kenal capal, tahu cara membuatnya dan terus menghargai warisan ini,” katanya.-UTUSAN

The post Dr. Che Saad modenkan pembuatan capal warisan  appeared first on Utusan Malaysia.

Latest news