LATEST
National

England lebur rekod tanpa kalah Sepanyol

England lebur rekod tanpa kalah Sepanyol

ngEOleh AFP

Baca juga: RMSIR 2026: Blitz menang perlumbaan pertama

MADRID: England menamatkan rekod tanpa kalah juara dunia, Sepanyol selepas mencatat kemenangan dramatik 3-2 dalam aksi Liga Negara-Negara di Madrid, awal pagi tadi, sekali gus mengesahkan kedudukan teratas Kumpulan A3.

Jaringan Harry Kane, Ezri Konsa dan Ben White memastikan kekalahan pertama Sepanyol dalam perlawanan kompetitif sejak Mac 2023, selepas mencatat 44 aksi tanpa tewas.

England bagaimanapun terpaksa mengharungi detik cemas apabila Elliot Anderson dilayangkan kad merah pada babak kedua, ketika Sepanyol bangkit merapatkan jurang menerusi jaringan Mikel Oyarzabal dan Nico Williams.

Namun, kebangkitan skuad kendalian Luis de la Fuente itu tidak cukup untuk mengelakkan kekalahan, sekali gus menyaksikan rekod tanpa kalah mereka berakhir.

Kedua-dua pasukan sudah mengesahkan kemaraan ke suku akhir, namun kejayaan muncul juara kumpulan membolehkan England mendapat status sebagai pasukan pilihan pada undian pusingan itu yang dijadual berlangsung Mac depan.

Jurulatih England, Thomas Tuchel membuat beberapa perubahan dalam kesebelasan utama dengan memilih James Trafford sebagai penjaga gol mengatasi Jordan Pickford, selain menyenaraikan White dan Konsa.

Bintang muda Sepanyol, Lamine Yamal yang terlepas aksi kemenangan ke atas Republik Czech pada pertengahan minggu lalu, kembali cergas untuk beraksi di Stadium Metropolitano milik Atletico Madrid.

Bagaimanapun, England lebih menguasai permainan pada separuh masa pertama apabila penjaga gol Sepanyol, Unai Simon terpaksa bekerja keras menafikan percubaan Jude Bellingham, manakala percubaan Anthony Gordon turut disekat pertahanan lawan.

Kane yang memenangi anugerah Ballon d’Or mengatasi Yamal turut hampir membuka jaringan menerusi percubaan yang sedikit tersasar sebelum pertahanan Barcelona, Pau Cubarsi menghadiahkan sepakan penalti kepada England selepas menjatuhkan penyerang Bayern Munich itu dalam kotak penalti pada penghujung babak pertama.

Kane menyempurnakan sepakan penalti itu dengan rembatan kencang untuk menewaskan Simon, sekali gus meletakkan England di depan sebelum rehat.

De la Fuente melakukan tiga pertukaran serentak pada awal babak kedua dengan memasukkan Fermin Lopez dan Pedri, namun England terus menghukum kelemahan pertahanan tuan rumah apabila Konsa menanduk masuk gol kedua hasil sepakan penjuru Declan Rice pada minit ke-53.

Empat minit kemudian, England menambah derita Sepanyol apabila gerakan pantas Kane dan Bellingham membuka ruang buat White meledak gol ketiga, sekali gus meletakkan pelawat selesa mendahului 3-0.

Sepanyol bagaimanapun memperoleh peluang untuk bangkit apabila Anderson menjatuhkan Yamal dalam kotak penalti ketika pemain muda itu sedang mara ke arah gawang.

Anderson dilayangkan kad merah sebelum Oyarzabal menyempurnakan sepakan penalti untuk merapatkan kedudukan.

Williams kemudian menghidupkan peluang Sepanyol menerusi jaringan kedua selepas menerima hantaran Yamal, dengan percubaannya terkena tiang sebelum menerjah gawang.

Sepanyol terus memburu gol penyamaan pada baki perlawanan, namun Trafford cemerlang menafikan percubaan Yamal dan Marc Cucurella, manakala Williams turut gagal memanfaatkan peluang untuk menyelamatkan rekod tanpa kalah tuan rumah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news