Madrid: Ketua jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente menegaskan pasukannya akan bangkit daripada kekalahan 2-3 kepada England dalam aksi Liga Negara-Negara, awal pagi tadi dengan semangat baharu dan bersedia menghadapi cabaran seterusnya.
Baca juga: England lebur rekod tanpa kalah Sepanyol
La Roja tewas buat kali pertama dalam perlawanan kompetitif sejak Mac 2023, sekali gus menamatkan rekod tanpa kalah dalam 44 perlawanan.
Sepanjang tempoh gemilang itu, Sepanyol menjuarai Euro 2024 dan Piala Dunia 2026, selain mendominasi bola sepak antarabangsa.
“Saya sangat optimis dan percaya satu fasa baharu serta cabaran baharu bermula sekarang. Kami perlu memulakan semula perjalanan ini dengan cara yang sama seperti dahulu, saya sendiri sudah tidak ingat bila, iaitu dengan kemenangan,” kata De la Fuente kepada pemberita.
Sepanyol sebelum ini sudah mengesahkan tempat ke suku akhir Liga Negara-Negara yang akan berlangsung tahun depan.
“Pada Mac nanti, kami akan kembali dengan semangat baharu dan memberikan tumpuan untuk melepasi pusingan kalah mati, sekali lagi mara ke peringkat akhir Liga Negara-Negara serta berusaha memenanginya.
“Kami sedar sekali lagi betapa sukarnya untuk mengulangi kejayaan sebesar itu, tetapi semangat, tekad dan cita-cita kami tetap tidak akan berubah,” kata De la Fuente.
De la Fuente berkata kekalahan itu hanya membuktikan betapa hebatnya pencapaian pasukannya sepanjang mencipta rekod tanpa kalah sebelum ini.
“Ia membawa kami kembali berpijak di bumi nyata dan menunjukkan betapa sukarnya untuk mencapai segala kejayaan yang sudah kami kecapi.
“Saya masih berpendapat semua pasukan mahu menewaskan Sepanyol dan itu perkara yang baik, tetapi kami bersedia mengatasi cabaran berkenaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd