LATEST

Sanggup tinggal upah lumayan di luar negara demi berbakti pada tanah

Sanggup tinggal upah lumayan di luar negara demi berbakti pada tanah

suliati@hmetro.com.my

Baca juga: Semangat kental Mhia Firdaus pikul amanah diberikan

MEMILIKI kerjaya profesional dengan peluang bekerja di luar negara bukan sesuatu yang mudah dicapai, namun bagi Norasila Kasim, 35, semua itu bukan alasan untuk terus berada dalam zon selesa apabila hatinya menyimpan impian lain yang mahu direalisasikan.

Selepas bertahun-tahun membina pengalaman sebagai jurutera dalam industri farmaseutikal dan peranti perubatan, wanita berasal dari Gerik, Perak itu akhirnya membuat keputusan meninggalkan kerjaya berkenaan untuk pulang ke kampung dan menceburi bidang pertanian serta penternakan.

Keputusan itu bukan dibuat kerana gagal dalam kerjaya atau tiada peluang pekerjaan, sebaliknya mahu memberikan ruang kepada dirinya mencuba sesuatu yang sudah lama diminati, biarpun terpaksa memulakan kehidupan baharu dari bawah.

Anak keenam daripada tujuh beradik itu berkata, dia memulakan kerjaya di Johor selepas menamatkan pengajian Kejuruteraan Biokimia di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada penghujung 2015 sebelum berpeluang bekerja di Indonesia, Singapura, Sepanyol, Korea dan Vietnam.

“Sebagai ‘Validation Engineer,’ tugas saya merangkumi pemeriksaan dan pengujian mesin dan peralatan yang digunakan untuk menghasilkan ubat-ubatan dan peranti perubatan bagi memastikan semuanya berfungsi dengan betul serta selamat.

“Bekerja dengan syarikat perkhidmatan validasi yang menghantar saya ke kilang farmaseutikal dan peranti perubatan juga memberikan peluang kepada saya untuk menimba pengalaman di luar negara, sekali gus mencapai cita-cita yang pernah diimpikannya,” katanya.

Norasila akui, menjadi jurutera bukanlah cita-cita asalnya kerana bidang itu lebih kepada laluan yang dibentuk sejak zaman persekolahan apabila kecenderungannya dalam akademik mendorongnya mengikuti aliran sains dan teknologi.

“Sejujurnya, menjadi jurutera bukanlah impian saya, tetapi lebih kepada saya diasuh untuk menjadi jurutera.

“Saya membesar pada zaman di mana budak pandai sedikit, akan dihantar ke sekolah berasrama penuh dan dijangka bekerja dalam bidang STEM, iaitu sains dan teknologi.

“Cita-cita sebenar saya pula hanya mahu bekerja di luar negara dan saya sudah mencapai impian itu,” katanya.

Penghijrahan kerjaya buat Norasila bukan kerana gagal dalam pekerjaan, sebaliknya mahu mengejar impian yang lama terpendam.

Kata Norasila, minatnya terhadap pertanian berkembang ketika dia menyambung pengajian sarjana dalam bidang Pengajian Asia Timur pada 2019 selepas berhenti kerja sebagai jurutera pada pertengahan tahun berkenaan.

“Ketika pandemik COVID-19 melanda pada 2020 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, saya pulang ke kampung dan mengikuti pengajian secara dalam talian.

“Bila sudah berada di kampung, saya mula berkebun kecil-kecilan di tepi rumah sebagai hobi.

“Kebetulan pula, subjek yang sedang dipelajari turut memperkenalkan konsep keterjaminan makanan menerusi subjek berkaitan keselamatan bukan tradisional. Minat terhadap pertanian semakin mendalam,” katanya.

Selain melakukan kajian tesis yang berkaitan keselamatan makanan di negara Asia Tenggara, Norasila juga mengambil kelas ternakan kambing anjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan kursus fertigasi rock melon daripada Jabatan Pertanian yang diadakan secara dalam talian ketika PKP.

Walaupun minat untuk menceburi pertanian semakin berkembang, kata Norasila kekangan modal menyebabkan dia ragu-ragu untuk memulakan langkah.

“Ketika itu, sebahagian besar simpanan saya sudah digunakan untuk membayar yuran pengajian serta menampung perbelanjaan harian selama dua tahun pengajian.

“Jadi, selepas menamatkan pengajian sarjana pada penghujung 2021, saya kembali bekerja sebagai jurutera validasi di Granada, Sepanyol selama beberapa bulan sebelum meneruskan kerjaya di Korea dan Vietnam, kemudian berpindah ke Pulau Pinang pada 2023,” katanya.

Pada 2024, Norasila berpindah ke Johor selepas berkahwin dan mula bekerja di Singapura, namun tetap hasratnya untuk pulang ke kampung dan menjadi petani tetap utuh.

Februari 2026, Norasila memberanikan diri melepaskan jawatan sebagai jurutera dan pulang ke Gerik untuk merealisasikan impian yang sekian lama disimpan.

Menariknya, rancangan asalnya bukanlah menternak ayam saga seperti sekarang, sebaliknya mahu mengusahakan kebun kacang edamame selepas mendapat sokongan abangnya untuk memulakan projek berkenaan.

Tapi disebabkan kemarau teruk di kampung ketika itu, keadaan tanah terlalu kering dan tiada sumber air untuk memulakan penanaman.

Keadaan itu mendorong Norasila meneroka pilihan lain sebelum mengikuti kursus kebun makanan atau ‘edible garden’ anjuran Jabatan Pertanian serta kelas penternakan ayam penelur secara dalam talian.

“Saya mula dengan menternak 30 ekor ayam penelur sebelum melakukan penyelidikan lanjut dan tertarik untuk mengusahakan ayam saga.

“Saya memilih ayam saga kerana ia adalah ternakan dwifungsi, iaitu boleh dijadikan ayam pedaging dan ayam penelur selain mempunyai pasaran tersendiri kerana dikatakan lebih premium berbanding ayam pedaging biasa.

“Ayam Saga juga adalah sejenis ayam kampung yang boleh diternak secara lepas bebas, lebih mesra alam dan boleh memberi manfaat pada tanah,” katanya yang turut mengusahakan kebun sayuran, herba dan makanan alternatif kepada ayam ternakannya.

Norasila berkata, kehidupannya kini lebih tenang selain berpeluang menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga dan melakukan perkara diminatinya.

Namun, sebagai individu yang pernah mengembara di negara luar dan pulang ke kampung, cabaran itu pasti ada.

“Ketiadaan pendapatan tetap dan perlu menyesuaikan diri dengan kemudahan yang terhad serta rentak kehidupan kampung yang perlahan antara cabaran awal yang saya terpaksa lalui.

“Memang susah, tapi itu pilihan saya dan saya lakukannya mengikut cara sendiri. Saya sedang belajar untuk ‘go with the flow’ dan percaya kepada proses,” katanya.

Sehingga kini, Norasila masih menerima panggilan untuk bekerja di luar negara dengan gaji lumayan, namun dia memilih tinggal di kampung.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news