LATEST

Trend imej kematian palsu guna AI cetus gesaan perketat peraturan media sosial

Trend imej kematian palsu guna AI cetus gesaan perketat peraturan media sosial

Seoul: Trend menghasilkan imej individu seolah-olah sudah meninggal dunia menggunakan kecerdasan buatan (AI) sebagai bahan gurauan dalam kalangan golongan muda di Korea Selatan mencetuskan gesaan supaya peraturan terhadap platform media sosial diperketatkan.

Baca juga: Pengurangan premium KLSCAH kepada RM1,000 tidak munasabah – Kok Seong

Memetik The Herald Korea, trend yang semakin popular itu menyaksikan peningkatan hantaran di platform seperti Instagram yang memaparkan potret pengebumian hitam putih dijana AI, lengkap dengan mesej memperingati kematian seperti ‘Berehatlah dengan tenang’ dan ‘Kamu akan sentiasa dikenang.’

Sesetengah hantaran turut memaparkan tarikh lahir, tarikh kematian palsu, riben hitam dan bunga kekwa putih sehingga sukar dibezakan daripada pengumuman kematian sebenar.

Difahamkan, perlakuan itu semakin mendapat perhatian remaja dan individu berusia 20-an yang menjadikannya sebagai gurauan sesama rakan rapat.

Bagaimanapun, trend berkenaan mengundang reaksi bercampur apabila ada pengguna yang mengetahui perkara itu sekadar gurauan, manakala sebahagian lain memberikan ucapan takziah kerana menyangka kematian itu benar-benar berlaku.

Susulan itu, pakar memberi amaran bahawa trend berkenaan memperlekehkan kematian dan menggesa platform media sosial mengambil tindakan lebih tegas bagi menghalang penyebaran kandungan sedemikian.

Pakar di Jabatan Perkhidmatan Pengebumian Universiti Eulji, Prof Kim Si-deok berkata, tradisi pengebumian dan kepentingan kematian semakin dipandang ringan dalam kalangan generasi muda.

Beliau turut menggesa, platform dalam talian mengambil langkah bagi menghalang kandungan berkenaan daripada terus tersebar.

Sementara itu, Meta selaku syarikat induk Instagram berkata, pihaknya menyekat atau memadam kandungan yang melanggar piawaian komuniti termasuk hantaran yang dihasilkan menggunakan AI.

“Pengguna boleh melaporkan imej individu persendirian, termasuk kanak-kanak bawah umur yang sudah dimanipulasi dan dikongsi tanpa persetujuan mereka.

“Kami akan memadam kandungan sedemikian dengan segera selepas proses semakan dan akan terus bekerjasama dengan organisasi luar yang berkaitan bagi mengekalkan persekitaran platform yang selamat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news