LATEST

Populariti bukan sekadar nama, ia tanggungjawab kata Zarif Ghazzi

Populariti bukan sekadar nama, ia tanggungjawab kata Zarif Ghazzi

puterialia@hmetro.com.my

Baca juga: Jensen Huang bincang kemungkinan kembali menerajui Nvidia

Kuala Lumpur: Meniti lonjakan populariti menerusi pelbagai naskhah, pelakon, Zarif Ghazzi menyifatkan tumpuan luar biasa yang diterima ketika ini sebagai satu tanggungjawab besar bergelar anak seni.

Zarif atau nama sebenar Zarif Farahi Effie Ghazzi berkata, kerjaya seni yang diceburi bukan sekadar mencari populariti semata-mata, sebaliknya menuntut kesedaran terhadap setiap tindakan yang dilakukannya.

“Bagi saya, menjadi perhatian orang ramai dan terkenal ini merupakan tanggungjawab. Menjadi seorang pelakon ini adalah satu pilihan. Contohnya, jika kita nak jadi juruterbang, ia adalah tanggungjawab kita untuk bawa kapal terbang bersama nyawa penumpang dan kru.

“Kalau apa-apa jadi, itu adalah atas tanggungjawab kita. Kita tidak boleh cakap ia bukan tanggungjawab kita dan menafikan kesalahan kita.

“Maka menjadi seorang pelakon ini adalah tanggungjawab dan juga pilihan. Jadi, kalau saya nak jadi pelakon, inilah tanggungjawab yang perlu saya pikul,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Bagaimanapun, pelakon yang berusia 22 tahun ini mengakui pernah berasa terbeban dengan populariti yang diterima, namun sentiasa melahirkan rasa penuh kesyukuran di atas rezeki itu.

“Memang ada rasa ‘overwhelmed’, tetapi saya lebih kepada bersyukur. Alhamdulillah, doa keluarga, doa ibu bapa membuatkan saya rasa selamat sampai ke hari ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Zarif berkata, dia terbuka untuk membawa pelbagai watak dan tidak mahu hanya membawa watak sama sahaja dalam setiap naskhah yang diterimanya.

“Semestinya ia adalah cabaran untuk saya memecahkan stereotaip dan andaian orang di mana kalau saya berlakon watak pelajar sekolah, sampai bila-bila saya berlakon watak pelajar sekolah.

“Sebab itulah setiap projek yang saya pilih perlunya berlainan karakter dan umur. Macam tahun lepas, saya bermula dengan watak-watak yang usianya lewat 20-an dan awal 30-an.

“Tetapi sekarang saya melakonkan watak budak sekolah dan insya-Allah tahun depan saya akan pergi balik ke watak dewasa supaya penonton tidak melihat ‘range’ lakonan saya yang kecil,” kongsinya.

Pelakon drama Hilang Dalam Rindu ini juga tidak meletakkan syarat ketat untuk watak yang dipilih, asalkan naskhah yang ditawarkan berkualiti serta dapat menyampaikan mesej kepada penonton.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news