Shah Alam: Kerajaan Negeri Selangor akan meneliti bantuan kepada penjaja dan peniaga kecil yang terjejas akibat banjir bagi meringankan beban golongan itu, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Baca juga: 2,572 mangsa banjir di 4 negeri, ditempatkan di 23 PPS, setakat pagi ini
Amirudin berkata, pihaknya bersedia membantu mangsa terkesan itu, terutama di kawasan Kuala Selangor yang masih berdepan situasi banjir termenung.
Beliau berkata kerajaan negeri terlebih dahulu akan mendapatkan maklumat dan data terperinci mengenai jumlah mangsa terlibat.
“Kita akan melihat keperluannya nanti kepada peniaga yang mungkin tidak mengharapkan bantuan RM500, RM1,000 atau RM2,000 kerana kerugian mereka besar.
“Jadi, kita mungkin boleh tukar kepada beberapa perkara yang dapat meringankan beban dan komitmen bulanan mereka terutama penjaja kecil,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan penutupan Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Negeri Selangor (HPPKS) 2026 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini, malam tadi.
Turut hadir Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Najwan Halimi, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) merangkap Pengarah Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN) Datuk Johary Anuar dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) Datuk Saipolyazan M Yusop.
Dalam pada itu, Amirudin berkata pihaknya akan menumpukan proses penyaluran bantuan kewangan kepada mangsa banjir seperti yang diumumkan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sebelum ini.
“Tanggungjawab kita adalah menyalurkan bantuan secepat mungkin kepada Ketua Isi Rumah (KIR) termasuk tambahan RM500 yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor.
“Ada dua kategori penerima iaitu mereka yang mendaftar dan tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS) atau tidak tinggal di PPS,” katanya.
Mengulas mengenai HPPKS 2026, Amirudin berkata program selama dua hari itu berjaya mencatatkan kehadiran 15,000 pengunjung dengan nilai jualan hampir RM200,000.
“Program anjuran Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri, serta MBI itu menjadi platform dalam memperkasa usahawan mikro melalui peluang pemasaran, pendedahan teknologi digital serta jaringan perniagaan.
“Memasuki tahun kedua penganjurannya, jumlah pengunjung dan nilai jualan dilihat semakin meningkat menerusi inisiatif Platform Selangor (PLATS) serta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd