LATEST

Kanak-kanak jadikan ular sawa mainan gelongsor

Kanak-kanak jadikan ular sawa mainan gelongsor

JAKARTA: Sekumpulan kanak-kanak di Indonesia mencuri perhatian selepas sebuah video tular memaparkan mereka bermain dengan seekor ular sawa gergasi hidup, malah menjadikan badan reptilia itu seperti permainan gelongsor.

Rakaman mengejutkan itu menunjukkan kanak-kanak berkenaan bergilir-gilir memanjat badan ular sebelum meluncur turun sambil ketawa dan berseronok.

Baca juga: 2,572 mangsa banjir di 4 negeri, ditempatkan di 23 PPS, setakat pagi ini

Lebih membimbangkan, beberapa orang dewasa turut kelihatan berada berhampiran lokasi kejadian tanpa cuba menyelamatkan kanak-kanak itu atau menghalau haiwan berkenaan. Malah, ada antara mereka dilihat merakam kejadian menggunakan telefon bimbit.

Berdasarkan ciri fizikalnya, ular berkenaan dipercayai spesies ular sawa batik yang dianggarkan sepanjang enam meter dan berada di kawasan cerun tanah.

Walaupun tidak berbisa, ular sawa batik mempunyai kekuatan otot yang luar biasa sehingga mampu membelit, membunuh dan menelan mangsa bersaiz besar.

Video itu meraih perhatian hampir 160,000 pengguna media sosial yang memberikan pelbagai reaksi terhadap aksi luar biasa berkenaan.

Bagaimanapun, pakar hidupan liar mengecam tindakan membabitkan kanak-kanak itu kerana boleh mengundang bahaya kerana ular liar itu boleh bertindak agresif dan menyerang dengan pantas apabila berasa terancam.

Seorang pengguna media sosial mendakwa ular sawa batik agak mudah ditemui di Indonesia dan sering diburu untuk mendapatkan minyak hatinya.

Seorang lagi pengguna berkata, ular sawa batik bersaiz besar kadangkala dipelihara atau ditangkap untuk dijadikan haiwan peliharaan dan lazimnya bersikap tenang, terutama selepas diberi makan atau sudah biasa berinteraksi dengan manusia.

Katanya, ular dalam rakaman itu tidak menunjukkan tindak balas agresif, keadaan yang dianggap biasa dalam situasi sedemikian.-AGENSI

The post Kanak-kanak jadikan ular sawa mainan gelongsor appeared first on Utusan Malaysia.

Latest news