LATEST
National

Melaka buka lembaran baharu penyatuan BN-PN

Melaka buka lembaran baharu penyatuan BN-PN

KEMENANGAN Barisan Nasional (BN) dan rakan kerjasamanya, Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kelmarin membawa perkembangan baharu dalam usaha penyatuan ummah, khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu.

BN bukan sahaja berjaya mengekalkan 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), jumlah sama seperti PRN 2021, malah kerjasama dengan PN menyaksikan mereka turut berjaya merampas tiga kerusi daripada Parti Amanah Negara (AMANAH) dan BERSATU.

Baca juga: Cristianinho sertai skuad bawah 17 tahun Portugal

Sebaliknya, Pakatan Harapan (PH) hanya mempertahankan empat daripada lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang, menerusi parti komponennya, DAP, iaitu Kota Laksamana, Bandar Hilir, Ayer Keroh dan Kesidang.

BERSATU pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) diterajui Datuk Seri Rafizi Ramli pula gagal memperoleh sebarang kerusi, begitu juga tiga calon Bebas dan calon tunggal Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA).

Lebih daripada sekadar percaturan angka dan penguasaan kerusi, keputusan itu memberi gambaran mengenai perkembangan kerjasama BN-PN yang sebelum ini melalui pelbagai fasa hubungan politik, termasuk episod kerjasama dan perpisahan menerusi Muafakat Nasional (MN).

Hakikatnya, usaha membina kesepakatan politik, khususnya dalam kalangan parti berteras Melayu bukan perkara baharu, namun kemenangan di Melaka membuka ruang untuk melihat semula sejauh mana kerjasama berkenaan mampu diperkukuh dan diterjemah dalam percaturan politik lebih besar.

Malah, perkembangan itu turut mengingatkan kepada kejayaan kerjasama politik BN+PN di Johor dan Negeri Sembilan, sekali gus menjadikan Melaka satu lagi medan penting untuk mengukur penerimaan terhadap agenda penyatuan ummah.

 Kembali bersatu 

Menariknya, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri mengajak semua pihak melupakan perselisihan politik lalu dan kembali bersatu tanpa mengira latar belakang susulan kemenangan gabungan berkenaan di Melaka.

Seruan itu membawa mesej penting bahawa kejayaan di gelanggang pilihan raya perlu disusuli kesediaan untuk mengetepikan perbezaan, mengurus kepentingan bersama dan membina kepercayaan antara parti.

Persoalannya, mampukah kerjasama BN+PN, khususnya membabitkan PAS, dipertahan dan diperluas ke peringkat Persekutuan? Cabaran itu bukan kecil memandangkan hubungan PAS dengan rakan politik sebelum ini beberapa kali melalui episod perpisahan, termasuk bersama BN dan kerjasama menerusi MN.

Justeru, kemenangan di Melaka belum boleh dianggap jaminan bahawa kesepakatan politik berkenaan mampu bertahan dalam jangka panjang, sebaliknya titik permulaan untuk membuktikan perbezaan ideologi dan kepentingan parti tidak semestinya jadi penghalang kerjasama.

Dalam perkembangan sama, kejayaan PAS memperoleh dua kerusi, masing-masing di Paya Rumput dan Bukit Katil turut mencuri perhatian apabila parti itu kembali memperoleh tapak dalam politik Melaka.

Lebih menarik, calon PAS berjaya menewaskan tokoh politik berprofil tinggi, termasuk Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari di Bukit Katil dan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin di Paya Rumput.

PAS pernah memenangi DUN Bukit Katil, yang ketika itu dikenali sebagai Bukit Baru ketika di bawah Pakatan Rakyat. Kejayaan terbaharu ini sekali gus memperlihatkan perkembangan semula pengaruh parti itu di negeri berkenaan.

Bagaimanapun, kejayaan PAS tidak boleh dilihat secara terpisah daripada kerjasama jentera dan sokongan BN, yang memainkan peranan dalam membantu calon parti berlogo bulan itu menghadapi saingan pilihan raya.

Pada masa sama, keputusan PRN Melaka turut memberi isyarat yang perlu diteliti PH, khususnya berhubung tahap sokongan pengundi terhadap gabungan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Kegagalan mempertahan sebahagian kerusi disandang memperlihatkan cabaran yang perlu ditangani PH, terutama membabitkan prestasi parti komponennya seperti AMANAH dan PKR.

Keadaan itu menuntut PH menilai semula pendekatan politik, strategi mendekati pengundi serta keberkesanan mesej yang dibawa sepanjang kempen pilihan raya.

Malah, perkembangan sepanjang kempen turut memperlihatkan keperluan kepemimpinan pusat memainkan peranan lebih besar menyuntik semangat jentera dan calon, selain memastikan sokongan akar umbi terus dipertahankan.

Dalam konteks lebih luas, kemenangan BN-PN di Melaka mungkin menjadi permulaan kepada perubahan landskap politik negara, khususnya apabila kerjasama antara kedua-dua gabungan itu kembali mendapat perhatian.

Namun, cabaran sebenar bukan sekadar mengekalkan momentum kemenangan, sebaliknya sejauh mana kedua-dua gabungan mampu urus perbezaan, menyelesaikan pertindihan kepentingan politik dan membina kepercayaan yang kukuh.

Penyatuan ummah juga tidak seharusnya terhenti sebagai slogan ketika berhadapan pilihan raya semata-mata, sebaliknya perlu diterjemah melalui kerjasama konsisten, kepemimpinan matang serta dasar memanfaatkan seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Jika kesepakatan itu mampu dipertahankan, Melaka bukan sekadar melakar catatan kemenangan politik BN+PN, malah berpotensi jadi medan penting menguji pembentukan semula kekuatan politik Melayu menjelang percaturan lebih besar pada peringkat Persekutuan.

Akhirnya, ukuran sebenar penyatuan bukan terletak pada sorakan kemenangan di pusat operasi parti, tetapi kemampuan pemimpin membuktikan bahawa kerjasama politik mampu membawa kestabilan, keadilan dan kesejahteraan kepada rakyat keseluruhan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news