LATEST

Kroupi buka akaun gol, Perancis mara ke suku akhir

Kroupi buka akaun gol, Perancis mara ke suku akhir

Bordeaux: Eli Junior Kroupi meledak gol sulung bersama Perancis ketika membantu pasukan itu menewaskan Turkiye 2-1 dalam aksi terakhir Kumpulan A1 Liga Negara-Negara, awal pagi tadi, sekali gus mengesahkan tiket ke suku akhir.

Baca juga: Sepanyol akan bangkit semula selepas tumbang

Perancis hanya memerlukan keputusan seri untuk menjamin kemaraan ke kelompok lapan terbaik yang dijadual berlangsung Mac depan, namun skuad kendalian Zinedine Zidane itu memastikan kemenangan menerusi jaringan sendiri Emirhan Topcu sejurus selepas babak kedua bermula.

Penyerang Bournemouth berusia 20 tahun itu yang dimasukkan menggantikan Bradley Barcola selepas sejam permainan, kemudian menggandakan kelebihan Perancis hasil umpanan Rayan Cherki sebelum Abdulkerim Bardakci merapatkan kedudukan buat Turkiye pada minit terakhir.

Kroupi mengakui teruja apabila berjaya mencatat nama sebagai penjaring selepas hanya membuat penampilan kedua bersama skuad senior, susulan kecederaan yang menyebabkannya terlepas dua bulan pertama musim ini.

“Pada mulanya, saya fikir berada dalam kedudukan ofsaid. Namun, apabila melihat jaringan itu disahkan, perasaan saya sangat luar biasa.

“Sudah tentu saya teringat kecederaan yang dialami. Saya berharap semuanya sudah berlalu dan kini boleh memandang ke hadapan,” katanya kepada penyiar TF1.

Kemenangan itu membolehkan Perancis bangkit selepas tewas 1-3 kepada Itali pada Jumaat lalu, sekali gus menamatkan saingan di puncak kumpulan dengan 13 mata, satu mata mengatasi Belgium.

Belgium turut mengesahkan kemaraan selepas bangkit membelasah Itali 4-1 di Brussels, sekali gus menyingkirkan skuad Azzurri daripada perebutan tempat ke suku akhir.

Perancis yang pernah menjuarai Liga Negara-Negara pada 2021 kini dijamin berdepan naib juara daripada salah satu kumpulan Liga A pada suku akhir, dengan undian dijadual berlangsung Jumaat ini.

Sepanyol antara pasukan yang berpotensi menjadi lawan mereka.

Zidane mengakui gembira dengan kejayaan mengesahkan kemaraan, namun belum berpuas hati sepenuhnya dengan persembahan pasukannya.

“Matlamat kami adalah untuk layak, sebaik-baiknya sebagai juara kumpulan. Jadi, kami sudah mencapai sasaran, tetapi saya sedikit kurang berpuas hati dengan persembahan pasukan.

“Kami memperbetulkan beberapa perkara ketika rehat, lebih menguasai bola dan menunjukkan permainan lebih baik pada babak kedua. Namun, masih ada aspek yang perlu diperbaiki,” katanya.

Perancis masih berdepan masalah kecederaan membabitkan beberapa pemain utama, termasuk pemenang Ballon d’Or tahun lalu, Ousmane Dembele.

Bagaimanapun, kapten pasukan, Kylian Mbappe kembali memperkuatkan skuad itu selepas terlepas empat perlawanan terakhir sejak menjaringkan gol kemenangan ketika menentang Turkiye pada aksi pertama Zidane sebagai jurulatih, September lalu.

Zidane memuji sumbangan penyerang Real Madrid itu yang bukan sahaja mencipta beberapa peluang, malah memainkan peranan penting sebagai kapten.

“Saya fikir dia layak menjaringkan hatrik berdasarkan jumlah peluang yang dimilikinya. Saya juga menyukai cara dia bermain tanpa bola. Dia menjalankan tanggungjawab sebagai kapten dengan cemerlang,” katanya.

Perlawanan itu turut membawa makna tersendiri buat Zidane yang mencipta nama sebagai pemain bersama Bordeaux pada era 1990-an sebelum menyertai Juventus dan membantu Perancis menjuarai Piala Dunia 1998.

Bagaimanapun, kemenangan tuan rumah tidak hadir dengan mudah apabila penjaga gol Turkiye, Berke Ozer beberapa kali menggagalkan percubaan berbahaya Perancis.

Perancis akhirnya membuka jaringan pada minit ke-49 apabila Adrien Rabiot menyambut sepakan penjuru sebelum Topcu, pertahanan Besiktas, tertolak bola ke gawang sendiri.

Kroupi yang meledak 13 gol Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Bournemouth musim lalu menerima panggilan lewat ke skuad kebangsaan selepas Marcus Thuram menarik diri akibat kecederaan pada awal minggu lalu.

Selepas membuat penampilan sulung sebagai pemain gantian ketika menentang Itali, Kroupi meledak gol pertamanya buat Perancis pada minit ke-80 hasil kombinasi menarik bersama Cherki.

Jaringan itu memastikan kemenangan Perancis selepas Bardakci merapatkan kedudukan pada minit ke-90, namun Turkiye menamatkan kempen Kumpulan A1 tanpa sebarang mata selepas tewas kesemua enam perlawanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news