LATEST

Perancis mahu pelbagaikan sumber bekalan unsur nadir bumi bersama Malaysia

Perancis mahu pelbagaikan sumber bekalan unsur nadir bumi bersama Malaysia

nuratikah@bh.com.my

Baca juga: Andreeva julang kejuaraan Final WTA

Kuala Lumpur: Perancis mahu mempelbagaikan sumber bekalan unsur nadir bumi menerusi kerjasama dengan Malaysia bagi mengurangkan risiko gangguan rantaian bekalan yang boleh menjejaskan operasi kilang dan pelaburan negara itu.

Presiden Perancis Emmanuel Macron berkata, usaha itu menjadi antara tumpuan lawatan rasmi beliau ke Malaysia, yang turut bertujuan memperkukuh perkongsian ekonomi serta melindungi pekerjaan dan industri Perancis.

Menerusi hantaran di platform X beliau berkata, unsur nadir bumi penting bagi pembuatan magnet yang digunakan dalam motor elektrik tertentu dan peranti elektronik.

“Bagi kilang-kilang kami, mempunyai pelbagai sumber bekalan bermakna mengurangkan risiko penutupan barisan pengeluaran akibat kekurangan komponen.

“Ia juga membolehkan kami melabur dan mengeluarkan produk di Perancis dengan keyakinan yang lebih tinggi terhadap masa depan,” katanya.

Pada masa sama, Macron turut menegaskan, kerjasama antarabangsa lebih kukuh penting bagi meningkatkan daya tahan ekonomi dan mengurangkan kebergantungan terhadap sumber bahan kritikal yang terhad.

“Lebih ramai rakan kongsi, lebih kurang kebergantungan. Perjanjian kita membuka pintu peluang, manakala bahasa, budaya dan persahabatan memastikan pintu tersebut terus terbuka demi kebaikan bersama negara kita,” katanya.

Menurutnya, lawatan ke Malaysia hari ini, dan esok berlangsung selepas kunjungannya ke Kemboja, yang turut memberi tumpuan kepada usaha membuka pasaran baharu serta memperkukuh kerjasama ekonomi.

Di Kemboja, beliau membawa pemimpin perniagaan bagi meneroka peluang pasaran baharu dengan memanfaatkan hubungan melalui komuniti berbahasa Perancis.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news