LATEST
National

5 ancaman AI terhadap Malaysia

5 ancaman AI terhadap Malaysia

KUALA LUMPUR: Kewujudan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang sepatutnya membantu melancarkan tugas harian manusia terpesong daripada fungsinya, apabila perkembangan kecanggihan teknologi itu diseleweng sekali gus mencetuskan ancaman kepada manusia.

Baca juga: England lebur rekod tanpa kalah Sepanyol

Dalam siri meja bulat keselamatan dan sekuriti AI disertai pakar tempatan dan luar negara yang dianjurkan AI Malaysia semasa pembangunan Pelan Tindakan AI Kebangsaan, lima ancaman teknologi itu dikenal pasti berisiko dalam konteks Malaysia.

Ia membabitkan pemalsuan imej atau deepfake, serangan siber, bias algoritma, pelanggaran privasi data dan penyalahgunaan AI generatif.

Menurut Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) dalam satu maklum balas kepada BH, kebimbangan Malaysia bahawa manusia semakin hilang kawalan terhadap AI bagaimanapun perlu dilihat melalui beberapa aspek.

NAIO menggariskan aspek berkenaan merangkumi keselamatan, kawalan, tadbir urus dan akauntabiliti terhadap sistem AI khususnya apabila teknologi berkenaan berkembang daripada segi skala serta kerumitan.

Menerusi Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030, NAIO berkata kerangka itu menyatakan apabila sistem AI menjadi semakin kompleks, penyeliaan kawal selia semata-mata tidak mencukupi.

Sehubungan itu, NAIO menyarankan Malaysia memiliki keupayaan khusus untuk menilai, memantau dan bertindak balas terhadap risiko AI, termasuk melalui Fungsi Kepercayaan AI yang dicadangkan di bawah pelan berkenaan.

“Pendekatan ini selari prinsip AI berteraskan manusia yang menjadi asas Negara AI 2030.

“Pelan tindakan menetapkan bahawa penggunaan AI perlu memperkukuh kesejahteraan manusia, menghormati nilai dan integriti masyarakat serta dilaksanakan dengan tadbir urus yang bertanggungjawab.

“Justeru, fokus Malaysia bukan kepada andaian bahawa AI akan mengambil alih kawalan manusia secara mutlak, tetapi bagi memastikan manusia dan institusi kekal mempunyai kawalan, pengawasan serta akauntabiliti yang jelas terhadap bagaimana AI dibangunkan dan digunakan,” katanya.

Tiada undang-undang khusus

Menyentuh kemungkinan terdapat ‘garis merah’ penggunaan AI yang kerajaan tidak akan benarkan, NAIO menjelaskan setakat dasar diterbitkan, Malaysia belum mempunyai undang-undang AI khusus yang berkuat kuasa.

Malah, Malaysia juga tidak mempunyai senarai muktamad mengenai semua penggunaan AI yang dilarang kerana masih tertakluk kepada proses pembangunan Rang Undang-Undang (RUU) Tadbir Urus AI.

“Namun, asas tadbir urus yang diterbitkan jelas. Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika AI (AIGE) menekankan keselamatan dan kawalan, privasi dan keselamatan, ketelusan, akauntabiliti serta manfaat kepada manusia.

“Pada masa sama, RUU Tadbir Urus AI tidak bertujuan menggantikan undang-undang sedia ada. Sebarang penggunaan AI membabitkan perbuatan yang sememangnya menyalahi undang-undang akan terus tertakluk kepada undang-undang dan kerangka penguatkuasaan yang berkaitan.

“Sebagai contoh, penyalahgunaan AI untuk melakukan jenayah siber atau kesalahan berkaitan komunikasi dan kandungan akan terus tertakluk kepada undang-undang sedia ada.

“Ia termasuk undang-undang berkaitan jenayah siber dan komunikasi serta multimedia, mengikut jenis kesalahan yang dilakukan,” katanya.

Mengenai kewajaran menetapkan had umur minimum 16 tahun untuk penggunaan AI seperti dilaksanakan untuk penggunaan media sosial, NAIO menjelaskan pendekatan terhadap kedua-dua platform teknologi itu tidak boleh disamakan secara langsung kerana fungsi dan tahap risiko setiap teknologi berbeza.

Bagaimanapun, jika terdapat keperluan mempertimbangkan had usia khusus pada masa hadapan, NAIO berkata perkara itu perlu dinilai berdasarkan jenis aplikasi, tahap risiko dan konteks penggunaannya.

“Berdasarkan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030, tumpuan Malaysia ketika ini untuk memperkukuh literasi AI dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah, termasuk aspek keselamatan, etika dan penggunaan AI yang berkesan.

“Pelan itu juga menekankan penerapan keselamatan dan etika AI pada peringkat awal supaya pelajar dapat menggunakan teknologi ini secara bertanggungjawab.

“Bagi AI, pendekatan diambil ketika ini berdasarkan perlindungan, literasi, penggunaan yang sesuai mengikut konteks serta pengawasan dalam ekosistem pendidikan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news