LATEST
National

Aksi cemerlang Trafford gugat kedudukan Pickford

Aksi cemerlang Trafford gugat kedudukan Pickford

LONDON: Penjaga gol England, James Trafford membuktikan kemampuan dirinya untuk mencabar kedudukan Jordan Pickford selaku pilihan utama pasukan itu selepas mempamerkan aksi cemerlang ketika membantu The Three Lions menewaskan Sepanyol 3-2 dalam aksi Liga Negara-Negara di Madrid, awal pagi tadi.

Baca juga: Andreeva julang kejuaraan Final WTA

Penjaga gol Leeds United berusia 24 tahun itu menjadi watak penting pada penghujung perlawanan apabila melakukan beberapa aksi menyelamatkan gawang daripada dibolosi, termasuk dua percubaan berturut-turut yang cukup menakjubkan.

England terlebih dahulu menguasai permainan apabila mendahului 3-0 menerusi jaringan penalti Harry Kane, selain gol Ezri Konsa dan Ben White dalam tempoh 60 minit pertama.

Trafford yang tidak banyak diuji pada awal perlawanan bagaimanapun gagal menyekat sepakan penalti Mikel Oyarzabal sebelum Nico Williams merapatkan kedudukan buat Sepanyol kira-kira 10 minit kemudian.

Namun, penjaga gol itu bangkit mempamerkan aksi cemerlang bagi mengekalkan kelebihan England ketika tuan rumah meningkatkan tekanan untuk memburu gol penyamaan.

Antara aksi terbaiknya adalah dua penyelamatan berturut-turut bagi menafikan percubaan Fer Lopez dan Aymeric Laporte pada penghujung perlawanan, selain menggagalkan usaha Lamine Yamal, Marc Cucurella dan Pedri.

Persembahan itu turut mencuri perhatian penyokong England yang mula mempersoalkan kedudukan Pickford sebagai penjaga gol nombor satu pasukan kebangsaan.

“James Trafford baru sahaja menamatkan karier antarabangsa Jordan Pickford,” tulis seorang penyokong di platform X, manakala seorang lagi menyifatkan aksi penjaga gol itu sebagai bertaraf dunia.

Rakan sepasukan, Declan Rice menyifatkan aksi Trafford menafikan dua percubaan berturut-turut sebagai detik penting yang membantu England mempertahankan kemenangan.

“Ia sangat penting. Segalanya berlaku dengan pantas dan dia berjaya melakukan dua penyelamatan dalam tempoh dua saat. Itu sangat besar maknanya buat pasukan,” kata pemain tengah itu.

Sementara itu, jurulatih England, Thomas Tuchel enggan mengesahkan sama ada Trafford bakal mengambil alih posisi penjaga gol utama daripada Pickford, sebaliknya memuji persembahan pemain muda berkenaan.

“Ia penyelamatan berganda yang baik dan itulah yang kami mahukan. Dia mempamerkan aksi cemerlang, tetapi kejayaan hanya dapat dicapai apabila semua pemain, daripada penjaga gol hingga pemain kesebelasan utama, berada pada tahap terbaik,” katanya kepada ITV.

Trafford yang baru membuat penampilan kelima bersama England berharap aksi cemerlang itu mampu membuka peluang untuk terus menjadi pilihan pada suku akhir Liga Negara-Negara, Mac depan.

“Segalanya berlaku dengan pantas dan itulah yang kami latih setiap hari serta setiap minggu, membuat keputusan dalam tempoh singkat.

“Saya gembira dapat membantu pasukan. Saya hanya mahu menikmati kemenangan ini dan memainkan peranan untuk memastikan England muncul juara kumpulan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news