LATEST

Roy King akui mental hampir ‘koyak’ sebelum bergelar juara

Roy King akui mental hampir ‘koyak’ sebelum bergelar juara

sukan@hmetro.com.my

Baca juga: Skuad Bunga Raya lelaki, wanita muncul naib juara di India

Kuala Lumpur: Mendahului 10-3 tetapi akhirnya hilang momentum sehingga hampir hilang fokus, Yap Roy King mengakui detik itu hampir meragut peluangnya bersama Aaron Tai untuk menjulang kejuaraan Masters Kumamoto 2026 di Jepun.

Pemain berusia 25 tahun itu mendedahkan mereka berdepan tekanan mental selepas mensia-siakan kelebihan besar pada set pertama ketika menentang bekas juara dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, dalam aksi final, semalam.

Situasi itu menyaksikan pasangan negara tewas 16-21 pada set pembukaan sebelum bangkit memenangi dua set berikutnya 21-13, 21-15 untuk memastikan gelaran kedua mereka sejak digandingkan.

Roy King berkata, beliau terpaksa memainkan peranan menenangkan Aaron supaya tidak terlalu memikirkan kesilapan yang berlaku, sebaliknya memberi tumpuan kepada setiap mata.

“Ia final yang sukar kerana mental kami agak terganggu selepas mendahului dengan jurang besar 10-3 dan hampir kehilangan sepenuhnya tumpuan.

“Saya hanya memberitahu Tai supaya tidak terlalu memikirkan perkara itu dan fokus kepada satu mata demi satu mata. Pendekatan itu membantu kami melepasi detik sukar,” katanya.

Kebangkitan itu membolehkan Aaron-Roy King mengubah rentak permainan sebelum menamatkan cabaran pasangan tuan rumah yang juga bekas juara dunia.

Roy King turut mengakui mereka tidak menjangkakan mampu muncul juara kerana laluan yang perlu ditempuh sepanjang kejohanan cukup mencabar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news