LATEST

Kompleks pengebumian purba berusia hampir 600 tahun ditemukan

Kompleks pengebumian purba berusia hampir 600 tahun ditemukan

Lima, Peru: Ahli arkeologi di Peru menemukan kompleks pengebumian masyarakat purba Chimú, sebuah tamadun yang pernah berkembang di pesisir utara negara itu, berusia hampir 600 tahun yang menempatkan 38 jasad termasuk satu rangka dalam kedudukan luar biasa sehingga menimbulkan kemungkinan berlakunya upacara pengorbanan manusia.

Baca juga: Roy King akui mental hampir ‘koyak’ sebelum bergelar juara

Memetik Fox News, kompleks berkenaan ditemukan di Chan Chan, sebuah bandar purba sebelum zaman Inca berhampiran Trujillo, kira-kira 563 kilometer (km) di utara Lima.

Kementerian Kebudayaan Peru berkata, tapak pengebumian yang hampir utuh itu tersembunyi selama lebih enam abad dan mengandungi tiga ruang utama.

Satu ruang menempatkan seorang individu yang dikelilingi artifak daripada kulit kerang dan logam, manakala ruang kedua mengandungi senjata serta lambang logam dan ruang ketiga menempatkan 20 jasad.

Bagaimanapun, satu rangka menarik perhatian penyelidik kerana dikebumikan dalam keadaan terlentang sepenuhnya, berbeza dengan amalan pengebumian kaum Chimú yang biasanya meletakkan jasad dalam posisi membengkok atau duduk.

Kementerian itu berkata, kedudukan luar biasa berkenaan menimbulkan persoalan mengenai punca kematian individu terbabit, termasuk kemungkinan upacara pengorbanan atau perbezaan status sosial yang ketara berbanding individu lain yang dikebumikan di ruang sama.

Dalam pada itu, antara barangan pengebumian yang ditemukan adalah hiasan kepala daripada logam, anting-anting, rantai, kotak kayu berukir serta objek upacara daripada kulit kerang dan kuarza (mineral semula jadi).

Sebahagian individu yang dikebumikan turut mempunyai pigmen merah pada bahagian kepala, yang menurut pegawai digunakan secara eksklusif dalam pengebumian golongan berpangkat tinggi dalam masyarakat Andes.

Sementara itu, ahli arkeologi Kementerian Kebudayaan Peru, Jorge Meneses berkata, penemuan itu menawarkan peluang jarang diperoleh untuk mengkaji individu dan artifak kaum Chimú dalam keadaan asal seperti ketika dikebumikan hampir 600 tahun lalu.

Beliau berkata, pengetahuan sebelum ini mengenai makam golongan elit Chimú kebanyakannya berdasarkan tapak pengebumian yang dirompak dan dimusnahkan sejak zaman penjajahan, sekali gus menyebabkan konteks arkeologi terganggu serta tidak lengkap.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news