KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu membentangkan Belanjawan 2027 berjumlah RM1.983 bilion merangkumi perbelanjaan mengurus termasuk caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan sebanyak RM450 juta.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, belanjawan bertemakan ‘Melakar Bahagia, Memacu Sejahtera’ itu menunjukkan baki peruntukan pembangunan tersebut melibatkan RM82 juta atau 18 peratus kepada sektor ekonomi, manakala RM22 juta atau lima peratus lagi disalurkan kepada sektor pentadbiran.
Baca juga: Cadangan PRN Pahang, Perak: BN tidak mahu tergesa-gesa, serah kepada MB – Ahmad Zahid
”Di samping Terimaan Bukan Hasil yang dianggarkan berjumlah RM1.726 bilion, kerajaan negeri juga turut memberikan tumpuan kepada peningkatan hasil janaan negeri kepada RM361.06 juta.
”Ia merangkumi RM86.3 juta daripada Hasil Cukai dan RM274.76 juta daripada Hasil Bukan Cukai, sekali gus menjadikan keseluruhan hasil lebihan (surplus) sebanyak lima peratus dengan jumlah keseluruhan hasil berjumlah RM2.088 bilion,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Mengulas mengenai cabaran semasa, Ahmad Samsuri menegaskan bahawa kedudukan kewangan negeri perlu dilihat dalam konteks perubahan ekonomi dan geopolitik global, termasuk ketidaktentuan pasaran tenaga, persaingan kuasa besar serta peningkatan kos sara hidup harian.
Jelasnya, perkembangan tersebut sudah pasti memberi kesan kepada aktiviti industri dan hasil berkaitan petroleum negeri memandangkan struktur ekonomi Terengganu banyak bergantung kepada industri petroleum dan petrokimia.
”Terengganu turut berhadapan dengan beberapa cabaran struktur yang saling berkait bermula daripada struktur industri dan pasaran yang perlu diberikan perhatian,” ujarnya.
Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri menggariskan lima fokus utama iaitu memperkukuh tadbir urus dan fiskal negeri menerusi pengukuhan ketelusan, akauntabiliti institusi serta penerokaan sumber hasil baharu.
Katanya, antaranya adalah memacu pertumbuhan ekonomi dengan merancakkan pelaburan berkualiti, mengukuhkan rantaian nilai dan memberdayakan daya saing perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri juga meneruskan Program RAHMAT bagi membantu rakyat membina rumah mampu milik di atas tanah sendiri, selain menawarkan peluang pemilikan tanah melalui Rancangan Tanah Berkelompok kepada pemohon yang memenuhi kriteria.
”Bagi aspek kesihatan, Kad Sejahtera Fasa 6 dan Program Wad Kelas Ketiga Percuma terus diperkasakan bagi meringankan beban kos rawatan golongan yang layak,” katanya.
Sementara itu, bersempena Tahun Melawat Terengganu 2027, kerajaan negeri menyasarkan kehadiran 15 juta pelancong menerusi penganjuran 17 acara utama dan lebih 100 acara sampingan bagi merancakkan ekonomi serta menjana pendapatan pengusaha tempatan.
Selain itu, pembangunan di sekitar enam stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) turut diberi perhatian khusus melibatkan jaringan perhubungan dengan pusat bandar, kawasan perindustrian serta destinasi pelancongan.
Bagi memperkasa usahawan dan tenaga kerja tempatan, inisiatif seperti Usahawan Go Digital 2027 dan TVET Career Connect Terengganu turut dilaksanakan untuk memperluas pasaran perniagaan, meningkatkan kemahiran serta membuka lebih banyak peluang kerjaya kepada rakyat negeri ini. – UTUSAN
The post Terengganu bentang Belanjawan 2027 RM1.983 bilion appeared first on Utusan Malaysia.