LATEST

KWSP catat lonjakan pendapatan pelaburan kepada RM83.32 bilion

KWSP catat lonjakan pendapatan pelaburan kepada RM83.32 bilion

zahrin@mediaprima.com.my

Baca juga: Cheng Hoe bakal rombak pasukan

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan lonjakan pendapatan pelaburan sebanyak 30 peratus kepada RM83.32 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026 (9B2026) berbanding RM63.99 bilion tempoh sama tahun lalu.

Peningkatan itu didorong prestasi portfolio pelaburan yang pelbagai, khususnya sumbangan daripada ekuiti, selain strategi pelaburan yang memberi tumpuan kepada penjanaan pendapatan lebih awal.

Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (S32026), KWSP merekodkan pendapatan pelaburan RM25.82 bilion, meningkat tiga peratus berbanding RM25.07 bilion pada suku sama tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, prestasi bagi sembilan bulan pertama mencerminkan daya tahan portfolio pelaburan kumpulan.

Beliau berkata, prestasi positif itu hadir meskipun pertumbuhan pendapatan lebih sederhana pada suku ketiga.

Katanya, trend pertumbuhan lebih sederhana dijangka berterusan pada suku keempat susulan kelemahan pasaran ekuiti global dan peningkatan hasil dalam pasaran bon.

“Pada awal suku ini, risiko berkaitan tahap pinjaman kerajaan, inflasi yang berterusan dan penilaian saham berkaitan kecerdasan buatan (AI) semakin meningkat.

“Perkembangan ini mendorong kami untuk terus berdisiplin dalam menguruskan portfolio, dengan mengimbangi peluang pelaburan dan risiko yang muncul,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas prestasi mengikut kelas aset, Ahmad Zulqarnain berkata, ekuiti kekal sebagai penyumbang terbesar dengan pendapatan RM17.41 bilion, meningkat tiga peratus berbanding RM16.95 bilion pada suku sama tahun lalu.

Beliau berkata, instrumen pendapatan tetap pula menyumbang RM7.12 bilion, merangkumi 28 peratus daripada keseluruhan pendapatan pelaburan, manakala hartanah dan infrastruktur menjana RM890 juta serta instrumen pasaran wang mencatatkan RM400 juta.

Dari segi komposisi portfolio pula katanya, ekuiti merangkumi 47.1 peratus daripada jumlah aset pelaburan KWSP diikuti pendapatan tetap sebanyak 44 peratus, hartanah dan infrastruktur (5.6 peratus) serta pasaran wang (3.3 peratus).

Setakat 30 September lalu katanya, jumlah aset pelaburan KWSP mencecah RM1.55 trilion, dengan 38 peratus daripadanya ditempatkan di pasaran antarabangsa.

“Pelaburan global itu menjana pendapatan RM13.68 bilion, bersamaan 53 peratus daripada keseluruhan pendapatan pelaburan bagi suku ketiga.

“Sementara itu, pendapatan pelaburan bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah masing-masing mencatatkan RM21.39 bilion dan RM4.43 bilion pada suku dikaji,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, jumlah ahli KWSP meningkat kepada 18.67 juta setakat September 2026, selepas pendaftaran hampir 659,000 ahli baharu sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini.

Bilangan ahli aktif turut meningkat 23.8 peratus kepada 11.23 juta berbanding 9.07 juta dalam tempoh sama tahun lalu, manakala jumlah majikan aktif bertambah kepada 646,686.

Dari segi caruman, KWSP menerima RM30.44 bilion pada suku ketiga, meningkat 9.34 peratus berbanding RM27.84 bilion pada suku sama tahun lalu.

Caruman sukarela bagi tempoh sembilan bulan pula mencecah RM18.27 bilion, mencerminkan peningkatan kesedaran ahli untuk memperkukuh simpanan persaraan melebihi caruman mandator

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news