LATEST
National

Ijat selamat jalani pembedahan ACL, meniskus

Ijat selamat jalani pembedahan ACL, meniskus

KUALA LUMPUR: Perejam skuad sepak takraw lelaki negara, Noraizat Nordin, selamat menjalani pembedahan kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) dan meniskus, hari ini, sekali gus memulakan langkah pertama dalam perjalanan panjang untuk kembali ke gelanggang.

Baca juga: 6 lagi kolam takungan bakal dibina elak risiko KL banjir

Pemain yang mesra disapa Ijat itu berkongsi perkembangan berkenaan menerusi Instagram selepas selesai menjalani pembedahan, selain meluahkan rasa syukur apabila segala urusan berjalan lancar.

“Alhamdulillah, segala urusan pembedahan ACL dan meniskus hari ini telah selesai. Satu perjalanan yang bukan mudah, tetapi saya percaya setiap ujian yang Allah hadirkan pasti ada hikmah di sebaliknya,” katanya.

Noraizat turut mengakui bukan mudah untuk menerima ketentuan itu, terutama apabila beberapa perancangan dalam kariernya terpaksa berubah akibat kecederaan berkenaan.

Kecederaan itu sebelum ini memaksanya melupakan hasrat beraksi di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, selain mengetepikan peluang memperkuatkan Perak dalam saingan liga sepak takraw musim ini.

Bagaimanapun, pemain berkenaan tidak menganggap situasi itu sebagai pengakhiran, sebaliknya bertekad menjalani proses pemulihan dengan harapan dapat kembali pulih sepenuhnya.

“Kini, bermulalah satu lagi perjalanan untuk kembali pulih. Semoga Allah permudahkan segala urusan sepanjang proses pemulihan ini, kurniakan kesembuhan yang sempurna dan kuatkan semangat untuk melalui setiap fasa yang mendatang,” katanya.

Noraizat sebelum ini antara tonggak penting skuad negara, termasuk ketika membantu Malaysia meraih pingat emas pada Sukan SEA 2025.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news