LATEST

Penjaga gol jaring gol sendiri dengan lontaran pelik

Penjaga gol jaring gol sendiri dengan lontaran pelik

Buenos Aires: Penjaga gol Comunicaciones, Ezequiel Bacher mencuri perhatian selepas melakukan kesilapan luar biasa apabila melontarkan bola ke dalam gawang sendiri ketika aksi play-off Primera B menentang Arsenal Sarandi di Argentina.

Baca juga: Klopp mahu Infantino berundur

Insiden pelik itu berlaku ketika kedudukan masih 0-0 apabila Bacher, 30, berjaya menangkap bola hasil hantaran lintang pemain lawan sebelum cuba memulakan gerakan serangan pasukannya.

Bagaimanapun, tindakan penjaga gol itu bertukar menjadi mimpi ngeri apabila dia gagal melepaskan bola pada waktu tepat ketika melakukan lontaran, menyebabkan bola meluncur ke belakang dan terus menerjah gawang sendiri.

Bacher kelihatan terkejut sebelum menutup wajahnya dengan tangan, manakala pemain Arsenal meraikan jaringan yang hadir tanpa diduga itu.

Kesilapan berkenaan memberikan kelebihan kepada Arsenal, namun Comunicaciones berjaya menyamakan kedudukan tidak lama kemudian.

Arsenal bagaimanapun kembali menguasai permainan dan akhirnya mencatat kemenangan 3-2 dalam aksi pertama play-off itu.

Comunicaciones yang menamatkan saingan kumpulan liga di tangga kesembilan berdepan Arsenal, yang berada di kedudukan kedua, dalam perebutan tempat ke pusingan seterusnya.

Kedua-dua pasukan dijadual bertemu semula Sabtu depan bagi aksi timbal balik, dengan Arsenal membawa bekalan kelebihan satu gol.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news