LATEST

Klopp mahu Infantino berundur

Klopp mahu Infantino berundur

Berlin: Jurulatih Jerman, Jurgen Klopp menggesa Gianni Infantino menamatkan tempoh kepimpinannya sebagai Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), sambil menyifatkan perubahan kepimpinan badan induk itu sebagai sesuatu yang wajar dilakukan.

Baca juga: KWSP catat lonjakan pendapatan pelaburan kepada RM83.32 bilion

Klopp berkata, beliau tidak menyangka keadaan boleh menjadi lebih buruk selepas era Sepp Blatter, namun berpendapat kepimpinan Infantino kini mencetuskan keperluan untuk perubahan.

“Saya sudah mengikuti perkembangan bola sepak sejak sekian lama. Ada individu yang jauh lebih arif mengenai perkara ini berbanding saya. Namun, saya fikir kebanyakan orang kini bersetuju bahawa perubahan adalah sesuatu yang sangat wajar.

“Saya tidak menyangka keadaan boleh menjadi lebih buruk selepas Sepp Blatter, tetapi ada seseorang yang berjaya melakukannya,” katanya.

Klopp berkata demikian ketika ditemui di Berlin menjelang pertemuan Jerman menentang Belanda dalam saingan Liga Negara-Negara esok.

Blatter meletak jawatan sebagai Presiden FIFA pada 2015 selepas terpalit dakwaan rasuah, sebelum dikenakan larangan daripada terbabit dalam bola sepak oleh jawatankuasa etika badan induk itu walaupun dibebaskan dalam dua perbicaraan.

Infantino, dari Switzerland, mengambil alih jawatan berkenaan pada 2016 dan berdepan kritikan berhubung beberapa keputusan serta cadangannya, termasuk rancangan menjual sebahagian hak komersial Piala Dunia dan memperkenalkan Anugerah Keamanan FIFA sebelum menganugerahkannya kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Klopp turut berharap individu yang bakal menerajui FIFA selepas ini benar-benar mengutamakan kepentingan bola sepak berbanding kepentingan kewangan.

“Berhubung Gianni Infantino, sudah tentu individu seterusnya yang mengambil alih boleh melakukan tugas dengan lebih baik.

“Ada individu yang benar-benar mengambil berat mengenai masa depan bola sepak dan tidak didorong kepentingan kewangan. Jika seseorang seperti itu tampil untuk menjadi presiden, saya fikir ia satu peningkatan besar,” katanya.

Pemilihan Presiden FIFA seterusnya dijadual berlangsung pada Mac 2027 dengan hanya bekas pemain Switzerland, Ramon Vega dan Kozo Tashima dari Jepun setakat ini mengumumkan hasrat untuk mencabar Infantino.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news