Wanita yang terpalit dalam kontroversi melibatkan keluarga seorang kanak-kanak autisme di sebuah restoran di The Curve, Mutiara Damansara, Farah Fatini tetap dengan pendiriannya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang didakwa membuat tuduhan melulu terhadapnya.
Menerusi hantaran terbaharu di Facebook, Farah memaklumkan akan meneruskan penghantaran surat tuntutan (LOD) kepada pihak terlibat, termasuk pengguna media sosial dan artis yang didakwa mengecamnya tanpa menyelidik kejadian sebenar.
Baca juga: Dutch Lady ambil alih 35 peratus ekuiti Jemaluang Dairy Valley
Menurutnya, kecaman yang diterima telah menjejaskan reputasinya, malah beliau turut meluahkan rasa sedih apabila beberapa individu yang diikutinya di media sosial turut mengkritiknya.
“Alhamdulillah, saya masih dalam keadaan baik. Namun, reputasi saya telah tercemar.
“Saya akan meneruskan penghantaran surat tuntutan kepada pihak di sana, termasuk semua pengguna media sosial dan artis yang membuat tuduhan melulu tanpa menyiasat perkara sebenar.
“Sedih apabila ramai individu yang saya ikuti di media sosial turut mengecam saya. Namun, perkara sudah berlaku dan kita tidak boleh mengubahnya kembali,” katanya.
Dalam pada itu, Farah menegaskan bahawa tindakannya bukan bertujuan meraih simpati atau perhatian, sebaliknya mahu mempertahankan nama baiknya daripada dakwaan yang dianggap tidak benar.
Beliau yang mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam bidang sumber manusia (HR) berkata, setiap tindakan yang diambilnya perlu disokong dengan bukti kukuh.
Farah turut menjelaskan bahawa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tidak boleh didedahkan kepada umum berikutan peruntukan Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA), sekali gus menyerahkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa.

“Saya bukan mahu meraih simpati atau mendapatkan tanda suka. Saya bukan pempengaruh mahupun artis, sebaliknya hanya orang awam yang tidak aktif di media sosial.
“Saya bekerja dalam bidang sumber manusia selama lebih 15 tahun dan setiap tindakan yang saya ambil perlu disertakan dengan bukti sahih.
“Rakaman CCTV tidak boleh kami dedahkan kepada umum kerana tertakluk kepada PDPA. Biarlah pihak berkuasa menjalankan tugas mereka,” jelasnya.
Farah turut menzahirkan penghargaan kepada suami, ahli keluarga, rakan rapat serta kakitangan pejabat yang didakwanya menjadi saksi kepada kejadian berkenaan.
Pada masa sama, beliau mempertahankan perkhidmatan restoran Macha & Co di The Curve dengan menyifatkan pihak restoran telah memberikan layanan terbaik, selain memuji makanan serta harga yang ditawarkan.
Menurutnya, pengalaman positif itu menjadi antara sebab syarikatnya memilih restoran sama buat kali kedua untuk menganjurkan majlis sambutan Deepavali.

Mengulas mengenai tindakan undang-undang, Farah memaklumkan beliau masih berpegang pada keputusan asal meskipun mendakwa telah menerima mesej daripada anak individu terbabit yang mahu mengadakan perbincangan.
“Buat masa ini, biarlah pihak berkuasa menjalankan tugas mereka. Saya tidak mahu memperbesarkan perkara ini, tetapi apabila difitnah, reputasi saya turut tercemar.
“Kepada anak beliau yang menghantar mesej peribadi untuk berbincang, buat masa ini saya masih berpegang pada keputusan saya,”ujar beliau.
Terdahulu, kontroversi tercetus selepas bekas komposer dan pejuang hak autisme, Iman Wan Tuck mendakwa keluarganya tidak dibenarkan menjamu selera di beberapa bahagian restoran yang telah ditempah untuk majlis peribadi.
Iman bersama isterinya, Norhaidda Hassan dan anak mereka, Adam Wan yang menghidap autisme, dilaporkan mahu makan sebentar sebelum meninggalkan premis berkenaan.
Bagaimanapun, Farah menafikan dakwaan tersebut dan mendakwa keluarga itu sebenarnya dibenarkan makan di restoran berkenaan dengan syarat beredar sebelum majlis bermula pada jam 7 malam.
Beliau turut mendakwa rakaman video yang tular tidak menggambarkan keseluruhan kejadian sebelum membuat laporan polis berhubung dakwaan fitnah yang menjejaskan reputasi diri serta syarikatnya.

Sementara itu, pihak restoran Macha & Co menerusi kenyataan rasmi memohon maaf kepada kedua-dua pihak atas pengalaman kurang menyenangkan dan salah faham yang berlaku.
Semalam, Iman meminta orang ramai menghentikan kecaman terhadap Farah sambil menegaskan bahawa video tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai cabaran dihadapi keluarga yang mempunyai anak autisme, bukannya untuk memalukan mana-mana individu.
Bagaimanapun, beliau tetap mempertahankan kenyataannya mengenai kejadian tersebut.
Sumber: FB Farah Fatini