puterialia@hmetro.com.my
Baca juga: Ancelotti akui Brazil belum cukup kompetitif
Kuala Lumpur: Kegagalan memahami kehendak dan kriteria penganjur antarabangsa menjadi punca karya tempatan sukar menembusi pentas global.
Maestro muzik terkenal, Datuk Dr M Nasir, 69, mengakui perkara itu berkata, beliau sudah mengikuti pertandingan Eurovision Song Contest sejak kumpulan legenda Sweden, ABBA menyertai pertandingan itu.
“Ia pertandingan yang sudah lama, usianya lebih kurang 60 hingga 70 tahun, sejak zaman ABBA dulu. Eurovision popular di Eropah sebab Eurovision itu untuk Eropah sahaja.
“Sekarang dia sudah buka ke dunia dan kita cuba masuk, namun tidak berhasil. Sebenarnya kita mesti tahu apa itu Eurovision. Apa yang mereka hendak.
“Kalau kita hendak pergi ke sana, maka kita kena tahu apa yang sebenarnya Eurovision mahukan,” katanya ketika ditemui di Sidang Media Magnum Opus M Nasir – Dekad Ke-5, di sini, hari ini.
Katanya, kunci utama kejayaan di peringkat global menuntut kefahaman mendalam mengenai kehendak penganjur selain tidak menghantar wakil secara sembarangan.
“Lagunya macam mana, persembahan dan artis yang macam mana mereka hendak. Kita perlu tahu juga, tidak boleh suka-suka sahaja,” katanya lagi.
Menyentuh mengenai aspek teknikal dan kualiti muzik, M Nasir turut berpendapat penanda aras yang diletakkan oleh pertandingan antarabangsa itu berbeza dengan tanggapan umum.
“Tidak ada muzik yang kualiti sangat yang diharapkan dalam Eurovision. Tapi itulah apa yang mereka hendak. Begitu juga kalau pertandingan dunia umpamanya.
“Dahulu ada pertandingan Yamaha World Song Festival. Kita pernah masuk tapi tidak pernah dapat apa-apa pun. Jadi, kita perlu tahu apa kehendak mereka,” katanya.
Dalam pada itu, M Nasir turut menegaskan pertandingan berkenaan tidak berpaksikan kepada vokal semata-mata, sebaliknya persembahan serta lagu yang ‘catchy’ lebih menarik perhatian mereka.
“Kita tidak faham sebenarnya apa kehendak Eurovision itu. Mereka bukan hendak orang yang paling bagus menyanyi.
“Mereka hendak persembahan yang ‘catchy’, lagu yang ‘catchy’. Itu sebenarnya yang menarik. Bagi merekalah, bagi kita mungkin sudah cukup. Tapi bagi pandangan antarabangsa itu lain,” katanya.
Untuk rekod, penyanyi dari Filipina, Carmelle dinobatkan sebagai juara Eurovision Song Contest Asia 2026 yang berlangsung di One Bangkok Forum, Bangkok, Thailand, pada Sabtu lalu.
Manakala, penyanyi, Aina Abdul yang mempertaruhkan lagu ciptaan sendiri, Bluest Sky menduduki tempat keempat.
© New Straits Times Press (M) Bhd