LATEST

Dewan Rakyat kecoh lagi, Jelutong dan Besut bertikam lidah

Dewan Rakyat kecoh lagi, Jelutong dan Besut bertikam lidah

am@hmetro.com.my

Baca juga: Ahli Parlimen PH kesal kenyataan Ahmad Maslan didakwa provokasi, cabar letak jawatan

Kuala Lumpur: Sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat, petang ini kecoh lagi, selepas berlaku pertikaman lidah antara Ahli Parlimen Jelutong dan Besut.

Ketegangan tercetus ketika RSN Rayer (PH-Jelutong) membangkitkan kenyataan Tan Sri Abd Hadi Awang (PAS-Marang) yang menyifatkan pemimpin bukan Islam sebagai lebih zalim berbanding pemimpin Islam.

Rayer pada mulanya memuji beberapa inisiatif yang dilaksanakan di bawah Kementerian Pengangkutan yang disifatkannya memberi manfaat kepada rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Bagaimanapun, suasana mula tegang apabila Rayer memetik kenyataan Presiden PAS itu berhubung kepimpinan Islam dan bukan Islam.

Keadaan itu mengundang bantahan beberapa ahli parlimen pembangkang termasuk Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) yang cuba mencelah, seterusnya mempersoalkan tindakan Rayer yang didakwa tidak membahaskan perkara berkaitan butiran kementerian.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yie kemudiannya cuba menenangkan keadaan dengan meminta Che Mohamad Zulkifly untuk duduk dan tidak mengganggu perjalanan perbahasan.

Namun perkara itu tidak diendahkan dan berlaku pertikaman lidah antara Rayer dengan Che Mohamad Zulkifly yang saling menjerit untuk duduk.

“Duduklah saya tak bagi peluang. Saya cabar saya tak bagi peluang. Saya tak bagi peluang, duduk. Duduk! Kamu duduk Besut,” kata Rayer.

Rayer kemudiannya meneruskan hujahnya dan menyifatkan kenyataan berkenaan sebagai tidak bertanggungjawab, selain meminta kementerian memberikan perincian jumlah penerima manfaat inisiatif pengangkutan di Kelantan dan Terengganu.

Kekecohan sekali lagi tercetus ketika sesi penggulungan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah.

Rayer pada ketika itu meminta Ahli Parlimen Limbang itu untuk memberikan perincian jumlah penerima manfaat dan tidak mahu ia diberikan secara bertulis.

“Saya minta maaf, saya tak mahu apa-apa penerangan bertulis. Saya mahu perkara itu didedahkan supaya rakyat di negara kita tahu apakah yang sudah dilakukan oleh kementerian yang dipimpin oleh Ahli Parlimen daripada DAP, yang meletak jawatan kerana kita lawan rasuah, bukan macam sebelah sana,” katanya.

Che Mohamad Zulkifly kemudiannya bangun dan mengatakan kenyataan yang dikeluarkan itu sangat kurang ajar.

Rayer kemudian berkata beliau enggan melayan karenah Che Mohamad Zulkifly dan menyifatkannya sebagai ‘orang gila’ dan dibalas dengan tuduhan yang sama terhadapnya.

Alice kemudiannya meminta kedua-dua mereka untuk duduk dan memberi peluang untuk mendengar sesi penggulungan itu sehingga tamat.

“Ahli Yang Berhormat, kalau tidak dapat memberi perhatian kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri boleh keluar,” katanya.

Sebelum ini, Abdul Hadi ketika berucap di pentas Grand Finale Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), meminta orang Islam mengundi calon seagama, yang mana perkiraan politik dibuat berlandaskan faktor dosa dan pahala berbanding orang bukan Islam yang didakwanya ‘zalim’.

Beliau dipetik berkata, kesan daripada orang Islam tidak keluar mengundi ialah ‘orang lain’ yang akan jadi pemerintah dan didakwanya bakal bertindak mengikut perkiraan mereka semata-mata serta mengabaikan amanah yang diwajibkan Allah.

“Sebab itu orang Islam mesti tunaikan kewajipan ini (keluar mengundi) untuk memimpin seluruh manusia.

“Sejahat-jahat orang Islam, seburuk-buruk orang Islam memerintah negara, mereka tidak sezalim orang bukan Islam,” katanya dipetik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news